MELAKSANAKAN tugasan dengan istiqamah dan tekun akan memberikan kesan positif iaitu keberkatan dan keredaan Allah SWT.
MELAKSANAKAN tugasan dengan istiqamah dan tekun akan memberikan kesan positif iaitu keberkatan dan keredaan Allah SWT.
Mohd Ajib Ismail

KETIBAAN tahun baharu seringkali dikaitkan dengan azam dan niat yang baharu dalam meneruskan hala tuju kehidupan. Gesaan ini selaras dengan ajaran Islam yang sentiasa menganjurkan pembaharuan dan penambahbaikan melalui agenda islah dan tajdid. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Hud ayat 88 yang bermaksud: "Nabi Syuaib berkata: 'Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata daripada Tuhanku dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripada-Nya, (patutkah aku berdiam diri daripada melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nya aku kembali.'"

Di dalam mentafsirkan ayat ini, Sayyid Qutb mengulas maksud islah dengan melakukan kebaikan umum untuk kesejahteraan kehidupan dan masyarakat yang akan membawa kebajikan kepada setiap individu dan kelompok masyarakat walaupun sesetengah orang menyangka akibat mengikut dasar akidah dan mematuhi prinsip akhlak akan menghilangkan sebahagian daripada keuntungan peribadi dan peluang yang baik.

Sebenarnya yang akan hilang itu hanyalah hasil pendapatan dan peluang yang kotor namun kehilangan itu akan digantikan Allah dengan pendapatan yang bersih dan rezeki yang halal di samping melahirkan sebuah masyarakat padu, di mana warganya saling membantu dan bekerjasama tanpa menyimpan perasaan hasad dengki, dendam kesumat dan tanpa khianat dan berseteru satu sama lain. Dan dijelaskan dengan: "Allah SWT sahaja yang berkuasa menjayakan usaha  islahku kerana Dialah yang mengetahui niatku dan membalas segala usahaku, kepadanya sahaja aku kembali apabila aku dilanda kesusahan dan kesulitan dan kepada-Nya aku tumpukan seluruh niatku, amalanku dan usahaku." (Tafsir Fi Zilal al-Quran)

Perkataan islah boleh  ditakrifkan dengan maksud perbaikan atau pembaharuan dalam pelbagai bidang termasuk kebudayaan, sosial, keagamaan dan sebagainya. Manakala tajdid pula adalah salah satu ciri penting Islam dan pemuliharaannya supaya ia kekal relevan dengan perubahan masa. Justeru pembaikan dan pembaharuan adalah sesuatu yang selari dengan sifat Islam yang dinamik atau anjal (murunah).

Selain daripada perkara pokok dan dasar yang tidak boleh berubah, terdapat perkara ranting dan cabang yang boleh berubah mengikut kesesuaian dan maslahah manusia seiring peredaran masa. Perkara ini menjadikan ajaran Islam sentiasa segar, sesuai dan mudah untuk diamalkan. Penyesuaian terhadap perubahan adalah bukti Islam agama yang sempurna dan relevan sepanjang zaman. Imam Al-Ghazali pula menegaskan tajdid perlu dimulakan dengan perubahan dalam diri insan itu sendiri serta melaksanakan pembaharuan berasaskan penghayatan kepada ajaran Islam yang sebenar.

Selain menggalakkan agenda pembaharuan, ajaran Islam juga menuntut umatnya agar sentiasa bersegera dalam melaksanakan sesuatu tugasan dan amalan kebajikan serta menjauhi sifat bertangguh-tangguh. Firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 21 yang bermaksud: "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar."

Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan manusia agar bersegera dan berlumba-lumba mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapatkan keampunan dan balasan syurga.

Perlumbaan yang digalakkan oleh Islam ialah perlumbaan di dalam melakukan ketaatan dan amal soleh yang berterusan. Di dalam hal ini, Allah SWT menggambarkan tentang sifat Nabi Zakaria melalui firman-Nya di dalam surah al-Anbiya' ayat 90 yang bermaksud: "Maka Kami perkenankan doanya dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan pelbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami."

Nabi Muhammad SAW menjelaskan kebaikan perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara iaitu terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta lalu dia gunakan harta itu pada jalan kebenaran dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu lalu dia amalkan ilmu itu serta diajarkannya kepada manusia lain." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga mengingatkan agar menjauhi sifat suka bertangguh atau melambat-lambatkan pekerjaan kerana dibimbangi menjadi tabiat yang akhirnya menjadikan kita umat yang gagal mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Sifat bertangguh juga adalah penyakit rohani yang banyak membawa kerugian dalam kehidupan seseorang. Nabi Muhammad SAW menganjurkan agar bersegera melakukan amalan kebajikan melalui sabda baginda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Walaupun Islam amat menuntut kesegeraan, tetapi ajaran Islam juga menganjurkan supaya melaksanakan sesuatu tugasan dan amalan dengan berkualiti dan mengamalkan integriti. Sesuatu tugasan dan amalan perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, sempurna dan terbaik mengikut tatacara, peraturan, disiplin yang ditetapkan. Dalam ajaran Islam, integriti adalah perkara yang sangat penting terutama dalam aspek pekerjaan. Ia boleh dikaitkan dengan istilah ihsan seperti mana maksud hadis: "Kemudian dia bertanya lagi: 'Maka sekarang khabarkanlah kepadaku tentang ihsan. Rasulullah SAW menjawab: 'Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.'" (Riwayat Muslim). Pengabaian integriti dalam amalan akan membawa kerosakan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah orang lain.

Manakala tuntutan supaya melaksanakan pekerjaan dan amalan yang berkualiti adalah bertujuan menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan cemerlang. Islam meletakkan asas yang kukuh dalam menghasilkan kerja yang berkualiti berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyukai seseorang jika apabila kamu melakukan sesuatu tugasan, maka kamu akan melakukannya dengan itqan." (Riwayat al-Tabrani)

Itqan bermaksud melakukan sesuatu amanah dan tanggungjawab dengan gigih dan bersungguh-sungguh. Konsep itqan berkait rapat dengan penghasilan kerja yang berkualiti kerana nilai-nilai seperti istiqamah dan tekun dalam melaksanakan sesuatu tugasan akan memberikan kesan positif iaitu akan diberkati dan diredai oleh Allah SWT.

Sempena tahun baharu ini, marilah kita berusaha menghayati dan mengamalkan sifat bersegera, mengutamakan integriti dan kualiti di dalam amalan dan pekerjaan yang dilaksanakan serta menjadikan sifat-sifat tersebut sebagai teras di dalam agenda pembaharuan agar kita sentiasa beroleh kejayaan dan keredaan Allah SWT.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 6:30 AM