IBADAH puasa Ramadan boleh menjadi sebab seseorang Muslim termasuk dalam kalangan Muttaqin. FOTO AFP
IBADAH puasa Ramadan boleh menjadi sebab seseorang Muslim termasuk dalam kalangan Muttaqin. FOTO AFP
Mohd Shahrizal Nasir

R amadan sudah melabuhkan tirainya, Syawal menjelma lagi. Bulan yang kehadirannya sebelum ini dinanti-nantikan, kini meninggalkan seluruh umat Islam dan akan kembali lagi pada tahun akan datang. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang terus terpilih untuk berada dalam Ramadan mendatang.

Sesungguhnya ibadah puasa adalah satu ibadah yang amat istimewa kerana nilai pahalanya diberikan secara langsung oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW ber sabda dalam sebuah hadis yang maksudnya: "Semua amalan anak Adam untuknya. Allah berfirman: Kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya." (Muttafaq 'alaih)

Tatkala berbicara tentang puasa Ramadan, kita sering diingatkan mengenai kelebihan ibadah puasa yang mempunyai perkaitan rapat dengan takwa. Dalam bahasa Arab, orang yang bertakwa disebut sebagai 'muttaqin'. Hubung kait puasa Ramadan dengan takwa dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Jelaslah bahawa ibadah puasa Ramadan boleh menjadi sebab seseorang Muslim termasuk dalam kalangan Muttaqin. Ulama mendefinisikan perkataan takwa, antaranya Imam Ar-Raghib al-Asfahani yang menyatakan: "Takwa iaitu menjaga jiwa daripada perbuatan yang membuat seseorang berdosa dan hal itu dengan meninggalkan apa sahaja yang dilarang oleh Allah SWT."

Imam an-Nawawi pula menjelaskan maksud takwa iaitu: "Mentaati perintah dan larangan-Nya." Berdasarkan penjelasan tersebut, dapat difahami bahawa takwa berkait rapat dengan keakuran seseorang hamba terhadap titah perintah Allah SWT. Segala larangan Allah SWT wajib dijauhi, manakala segala suruhan-Nya mesti dilakukan dengan penuh rasa kehambaan.

Begitulah ibadah puasa yang melarang umat Islam melakukan perkara yang asalnya dihalalkan pada bulan lain. Tatkala umat Islam boleh makan dan minum pada siang hari sepanjang 11 bulan, namun pada bulan Ramadan mereka dilarang melakukan rutin berkenaan. Semuanya dilakukan sebagai tanda akur terhadap titah perintah Allah SWT.

Tempoh sebulan mentaati perintah Allah SWT, selain menggandakan amalan lain sepanjang Ramadan adalah satu bentuk tarbiah kepada seluruh umat Islam. Semua tarbiah tersebut akhirnya dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Takwa letaknya dalam hati dan dizahirkan menerusi perbuatan anggota badan. Keakuran mengikut perintah Allah SWT agar berpuasa berada dalam hati. Tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui status ibadah puasa orang lain. Dalam keadaan diri berada seorang diri, tidak ada manusia lain yang dapat memastikan diri kita sedang berpuasa atau sebaliknya melainkan Allah SWT. Boleh sahaja seseorang melanggar perintah Allah SWT kerana orang lain tidak akan mengetahui keadaan sebenar diri yang mungkin boleh sahaja makan dan minum ketika bersendirian.

Namun, disebabkan takwa dalam diri, umat Islam terus melaksanakan perintah Allah SWT dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada-Nya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang mafhumnya: "…takwa itu letaknya di sini," sambil menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali." (Hadis Riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa: "Rasulullah SAW menunjuk ke arah dadanya, iaitu maksudnya hati." Dalam Kitab al-Arba'in, Imam an-Nawawi memasukkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan kepentingan hati dalam diri manusia.

Dalam jasad setiap manusia ada segumpal daging iaitu hati, jika baik daging tersebut, maka baiklah seluruh diri manusia tersebut. Justeru, seseorang Muslim yang baik perlu memiliki hati yang baik, iaitu hati yang ada takwa.

Ibn Daqiq al-'Id pula menjelaskan makna hadis Rasulullah SAW tersebut, dengan mendatangkan hadis lain bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad kalian dan rupa kalian, akan tetapi Dia melihat kepada hati kalian." (Hadis Riwayat Muslim)

Penjelasan ini memberi kefahaman bahawa amalan zahir yang dapat dilihat oleh manusia lain belum tentu dapat menghasilkan ketakwaan. Namun ketakwaan itu adalah apa yang terdapat di dalam hati daripada pengagungan terhadap Allah, rasa takut kepada-Nya (khashyah), mendekatkan diri kepada-Nya dan hati yang berasa sentiasa diawasi Allah SWT. Semua perkara ini melibatkan hati dan ia menjadi bukti adanya takwa dalam diri.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat takwa hati orang Mukmin." (Surah al-Hajj, ayat 32)

Ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan benar-benar mengharapkan ganjaran daripada Allah menjadi punca seseorang mencapai darjat Muttaqin iaitu golongan yang bertakwa.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan kedudukan istimewa golongan Muttaqin. Golongan ini memperoleh ganjaran syurga sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam banyak ayat al-Quran.

"Sesungguhnya orang yang bertakwa (Muttaqin) adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya." (Surah al-Hijr, ayat 45)

"Sesungguhnya orang yang bertakwa (Muttaqin) (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa (syurga)." (Surah ad-Dukhan, ayat 51)

"Sesungguhnya orang yang bertakwa (Muttaqin), ditempatkan dalam taman syurga dan nikmat kesenangan (yang tidak ada taranya)." (Surah at-Tur, ayat 17)

"Sesungguhnya orang yang bertakwa (Muttaqin), ditempatkan dalam taman syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai." (Surah al-Qamar, ayat 54)

"Sesungguhnya orang yang bertakwa (Muttaqin) berada di tempat teduh (yang dipenuhi pelbagai nikmat), dan yang berdekatan dengan mata air (yang mengalir)." (Surah al-Mursalat, ayat 41)

Pada ayat tersebut, Allah SWT menggunakan perkataan 'sesungguhnya' (inna) yang menunjukkan penegasan atau penguat keterangan. Ini bermakna sememangnya ganjaran untuk golongan Muttaqin sangat istimewa iaitu syurga-Nya. Golongan Muttaqin lahir antaranya daripada madrasah Ramadan sebagai peluang umat Islam mendidik hati untuk bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sebenarnya ganjaran golongan Muttaqin bukan sahaja melibatkan kehidupan di akhirat semata-mata, tetapi Allah SWT turut menjanjikan ganjaran istimewa ketika mereka hidup di dunia lagi. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "…dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Surah at-Talaq, ayat 2-3)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 9:55 AM