Setiap Muslim cintakan tanah airnya dan sentiasa berusaha untuk memberikan sumbangan  terbaik untuk negaranya.
Setiap Muslim cintakan tanah airnya dan sentiasa berusaha untuk memberikan sumbangan terbaik untuk negaranya.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Manusia secara normalnya hidup dan berkembang maju di atas semangat cintakan tanah air dan sanggup berkorban apa sahaja demi negara tercinta. Semangat ini dikongsi bersama oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Malah, Islam tidak pernah menghalang kecenderungan peribadi seseorang selagi tidak bercanggah dengan syariat.

Dalam konteks ini, Islam sebagai agama yang menghormati fitrah kejadian manusia sentiasa menggalakkan segala bentuk kebaikan yang dilakukan oleh manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Hajj, ayat 77)

Islam sangat menganjurkan umatnya mencari dan meneroka semua ruang dan peluang untuk membuat kebaikan serta menjadikannya satu wasilah untuk menyatupadukan rakyat. Ini berbeza dengan pandangan sesetengah pihak yang menganggap tiada perkaitan langsung antara iman dan semangat cintakan negara. Syariat Islam sangat menggalakkan umat Islam sayangkan negara dan berusaha melakukan segala kebaikan demi kemajuan negara.

Rasulullah SAW menunjukkan bukti yang jelas berkaitan kecintaan baginda kepada bumi Makkah ketika berhijrah ke Madinah. Kata-kata baginda bahawa jika tidak kerana penduduk Makkah (kaum Musyrikin) yang memaksa baginda keluar, nescaya baginda SAW tidak akan meninggalkan kota Makkah adalah bukti semangat cintakan tanah air yang mengalir dalam diri baginda. Semangat seperti ini sangat digalakkan oleh agama Islam agar setiap Muslim cintakan tanah airnya dan sentiasa berusaha untuk memberikan sumbangan terbaik untuk negaranya.

Maka, semangat seperti ini mestilah disuntik ke dalam jiwa setiap warganegara bermula daripada kanak-kanak sehinggalah kepada orang dewasa dan warga emas. Setiap warga perlu disedarkan dengan rasa tanggungjawab kepada negara. Bukan sahaja semata-mata menunggu dan mengharapkan apa yang sepatutnya mereka dapat daripada negara, tetapi sepatutnya setiap rakyat berusaha untuk memberikan sumbangan kepada negara. Jika setiap orang berusaha dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara, pasti mereka akan dapat mengecapi nikmat hasil daripada pengorbanan mereka.

Kita telah merasai nikmat hasil daripada pengorbanan orang terdahulu. Sebagai contoh, kemerdekaan yang kita capai juga adalah hasil daripada usaha dan pengorbanan para pejuang dan ulama kita dengan semangat cintakan negara yang tinggi. Mereka telah sanggup berkorban jiwa dan raga sehingga berjaya memperoleh kemerdekaan. Semangat kebersamaan antara seluruh warganegara inilah sebenarnya inspirasi daripada firman Allah SWT yang bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Semangat cintakan negara yang sebenarnya dalam Islam ialah apabila seseorang Muslim menyayangi negaranya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berbakti dan memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk yang boleh membawa kebaikan dan kemajuan kepada negara. Seterusnya, menguatkan hubungan antara sesama warganegara sehingga dapat membentuk kekuatan untuk membangunkan negara secara bersama dan mempertahankan negara daripada anasir yang boleh menghalang kemajuannya apatah lagi meruntuhkannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah kalian saling dengki, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain, (dia) tidak menzaliminya dan mengabaikannya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya. Takwa disini (seraya menunjuk dadanya sebanyak tiga kali). Cukuplah seorang Muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap Muslim atas Muslim yang lain; haram darahnya, hartanya dan kehormatannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Bermakna, setiap warganegara mestilah menyumbang ilmu dan kepakaran masing-masing kepada negara sebagai bukti cintanya kepada tanah airnya. Perkara yang paling penting ialah setiap warganegara mesti berusaha belajar dan mendalami segala jenis ilmu dan kepakaran yang akan membantu negara melangkah ke arah kemajuan. Mereka mestilah menguasai apa jua ilmu agar dapat menyumbang kepakaran masing-masing kepada negara. Dengan kepakaran yang ada pada setiap individu dalam negara ini, kemajuan akan dapat dicapai dengan lebih cepat.

Di samping itu, kualiti adalah sesuatu yang tiada kompromi. Islam sangat menganjurkan agar setiap usaha atau kerja yang dilakukan mestilah dengan sempurna dan sebagaimana yang sepatutnya iaitu itqan (kualiti). Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah dibuat secara itqan (tekun)". (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Setiap warganegara juga perlu menjaga keharmonian negaranya. Sebagai tanda kecintaan kepada negara setiap orang dalam negara ini perlu menjaga negara daripada dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Semua kemudahan yang disediakan mestilah digunakan dengan baik dan tidak dirosakkan. Terutamanya kemudahan awam seperti hospital, sekolah, sistem komunikasi dan penyampaian awam serta rumah ibadat. Budaya 'vandalisme' mestilah dibanteras.

Kesedaran tanggungjawab menjaga harta negara perlu ditingkatkan. Budaya rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa juga mesti diperangi habis-habisan. Manakala, peraturan yang dibuat demi menjamin keselamatan dan keharmonian termasuk undang-undang dan sistem kehakiman mesti diperkasa.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 7:01 AM