LADANG kelapa sawit. FOTO Adzlan Sidek
LADANG kelapa sawit. FOTO Adzlan Sidek
Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

PENYELIDIKAN dan pembangunan yang menjana inovasi baharu penting dalam menyediakan peluang perniagaan yang wujud dalam industri sawit. Pokok sawit adalah pelbagai guna, daripada buah hinggalah ke pelepah dan batangnya. Dengan kemajuan penyelidikan dan inovasi, pelbagai produk berasaskan sawit kini sudah berada di pasaran.

Selain produk makanan, terdapat juga makanan kesihatan, produk farmaseutikal yang berasaskan sawit, produk oleokimia dan biojisim sawit. Minyak sawit yang diperah daripada buah sawit mempunyai pelbagai kegunaan. Namun, ramai yang tidak tahu kegunaan minyak sawit bukan hanya untuk menggoreng.

Minyak sawit seperti juga minyak sayuran lain boleh diolah secara kimia menjadi bahan pengemulsi. Kandungan minyak sawit secara semula jadi mempunyai hampir 49 peratus lemak tepu dan tidak perlu melalui proses separa hidrogenasi (PHO) untuk ditepukan. Kegunaannya sebagai bahan pengemulsi memberikan tekstur gebu pada roti dibandingkan dengan sumber minyak lain yang memiliki hanya tujuh peratus hingga 25 peratus lemak tepu secara semula jadi.

Oleh itu, bahan pengemulsi berasaskan sawit digunakan dalam pembuatan roti, pencuci mulut, ais krim dan makanan ringan. Ia menjadikan makanan itu lembut, gebu dan sedap. Pengemulsi sawit juga boleh membuatkan pengadunan ramuan lebih lancar.

Minyak sawit merah mengandungi komponen karotena paling tinggi berbanding kandungan karotena dalam karot, tomato, buah beri dan sayuran hijau, membuatkan kos pengeluaran makanan semula jadi lebih kompetitif. Minyak sawit merah dilaporkan mengandungi 500-1,500 ppm karotena.

Dianggarkan kandungan karotena dalam minyak sawit merah melebihi 15 kali lobak merah, 300 kali melebihi tomato dan 44 kali melebihi sayuran hijau. Minyak sawit merah boleh digunakan sebagai pewarna makanan semulajadi untuk pembuatan ais krim dan minuman.

Minyak sawit mengandungi bahan antioksida iaitu karotenoid dan vitamin E yang tinggi dan berfungsi sebagai memanjangkan jangka hayat minyak sawit. Vitamin E sawit yang mempunyai banyak manfaat kesihatan bagi perlindungan sel-sel otak dan meningkatkan sistem pertahanan badan. Oleh itu, vitamin E sawit adalah ramuan yang paling sesuai dijadikan kapsul atau tablet sebagai makanan kesihatan.

Vitamin E sawit terdapat di pasaran sebagai makanan kesihatan dalam bentuk kapsul gel lembut. Sebagai antioksida yang kuat, makanan kesihatan dapat meningkatkan kualiti kesihatan seseorang.

Penyelidikan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan kerjasama dengan pihak luar membuktikan kajian saintifik yang menunjukkan faedah tokotrienol dalam Vitamin E sawit bertindak sebagai perlindungan saraf.

Inovasi baharu untuk meningkatkan kesan tokotrienol menggunakan teknologi nano akan lebih memudahkan pengiktirafannya dalam industri nutraseutikal, farmaseutikal dan kosmetik. Biojisim sawit terdiri daripada hampas isirung, sisa kering kilang sawit, serat sawit, pelepah sawit dan produk sampingan daripada pemprosesan minyak sawit. Bahan-bahan ini dibuktikan bermanfaat sebagai makanan untuk ternakan seperti ayam, itik, lembu, kambing dan akuakultur melalui inovasi teknologi MPOB.

Inovasi teknologi makanan haiwan ternakan daripada sawit mampu menyediakan bekalan makanan haiwan ternakan dengan harga yang lebih kompetitif. Biojisim sawit sudah digunakan untuk pengeluaran produk biokomposit, komponen kenderaan dan perabot.

Batang kelapa sawit juga digunakan sebagai venir untuk menghasilkan papan lapis. Kini, terdapat syarikat yang menggunakan tandan kosong buah sawit untuk penghasilan selulosa, karboksimetil selulosa dan selulosa mikrokristalin; yang boleh dijadikan bahan dalam produk makanan. Ester selulosa boleh dijadikan plastik mesra alam.

Selulosa juga dapat diubah menjadi asid polilaktik yang selamat untuk pengeluaran plastik lutsinar yang mesra alam bagi pembungkusan makanan.

Minyak dan oleokimia sawit boleh diformulasikan sebagai produk kosmetik dan penjagaan diri. Sebagai contoh gliserin digunakan sebagai agen pelembab kulit.

Vitamin E sawit adalah bahan antioksida yang lebih poten bagi penjagaan dan perlindungan kulit daripada tekanan oksidatif iaitu penyebab utama kesan penuaan.

MPOB juga sudah menghasilkan pembersih tangan yang menggabungkan gliserin dan vitamin E sawit yang mampu melembapkan dan melindungi kulit daripada kesan pengeringan kulit oleh alkohol. Penggunaan lilin dan sawit sebagai produk cenderahati telah menjadi kegemaran masyarakat masa kini. Namun, peluang perniagaan dalam bidang penghasilan lilin sebagai medium urutan yang beraromaterapi adalah satu inovasi sawit yang perlu diketengahkan.

Begitu juga degan penghasilan sabun pelbagai bentuk. MPOB juga sudah mempergiatkan aktiviti penghasilan formulasi pencuci pakaian serbuk dan cecair bagi memenuhi permintaan tempatan.

Ini sejajar juga dengan trending semasa apabila kedai dobi layan diri pesat membangun dan kehadiran dua pengeluar bahan surfaktan ester metil sulfonat sawit di Malaysia.

Usahawan kita terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengambil peluang meneroka inovasi baharu hasil penyelidikan dan pembangunan MPOB ini.

Penulis Ketua Pengarah MPOB

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 5:59 AM