Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

AKTIVITI pengumpulan minyak masak (UPCO) di pasaran memerlukan lesen daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), sekiranya ia berasal daripada minyak sawit.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pengendali UPCO dilesenkan dalam kategori Peniaga Minyak Sawit (DL) bagi produk minyak sawit keladak (SPO), seperti termaktub di dalam Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.

"UPCO dikategorikan sebagai minyak sawit keladak (SPO) seperti termaktub di dalam Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.

"Terdapat empat aktiviti dilesenkan MPOB iaitu menjual dan mengalih SPO, membeli dan mengalih SPO, menyimpan SPO dan mengeksport SPO.

"MPOB mengenakan fi lesen RM100 setahun untuk setiap aktiviti itu," katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Ahmad Parveez berkata, permohonan lesen diluluskan berdasarkan empat kriteria ditetapkan.

Beliau berkata, menurut Peraturan 2, tafsiran SPO adalah minyak sawit yang sudah merosot mutunya akibat tidak disimpan dengan sewajarnya atau disimpan terlalu lama.

"Minyak tinggal atau tertumpah yang didapati daripada pengilangan, penapisan, penyimpanan atau pengangkutan atau apa-apa minyak sawit masak sudah luput tarikh atau minyak sawit masak yang digunakan," katanya.

Dalam pada itu katanya, jumlah belian UPCO dalam negara oleh peniaga minyak sawit dan kilang biodiesel meningkat kepada 446,904 tan pada 2020, berbanding 308,015 tahun sebelumnya.

Beliau berkata, tahun sama, jumlah jualan UPCO oleh peniaga minyak sawit dan kilang biodiesel meningkat kepada 249,946 tan daripada 245,400 tan pada 2019.

Menurutnya, jumlah minyak sawit terpakai yang diproses kilang biodiesel dan peniaga minyak sawit turut melonjak kepada 189,717 tan pada tahun lalu.

"Minyak masak sawit yang terpakai boleh dikitar semula untuk dijadikan bahan lain bagi penghasilan produk bukan makanan seperti biodiesel, lilin, pencuci, sabun serta makanan haiwan," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak berminat boleh membuat permohonan lesen secara dalam talian menerusi e-lesen.mpob.gov.my.

"Bagi aktiviti mengeksport minyak sawit (minyak sawit mentah atau CPO), minyak sawit diproses (PPO), SPO pemohon perlu memohon lesen eksport (AP) Kastam di bawah Akta Kastam 1967 dan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:55 AM