Pelakon, Nad Zainal dan suami, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Pelakon, Nad Zainal dan suami, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ramlah Zainal


Putrajaya: Pelakon, Nad Zainal, 34, menafikan dakwaan di mana suaminya, Ungku Ismail Aziz, 39, mengongkong kerjaya seni dan kehidupannya sejak mereka berumah tangga lebih setahun lalu.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin berkata, suaminya yang juga pelakon itu juga banyak memberikan bimbingan dalam menentukan hala tuju hidupnya.

"Suami tidak pernah mengongkong saya dan semuanya okay saja. Kalau mengongkong, pasti kita akan berasa tertekan dan terbeban tetapi ini biasa saja. Normal seperti pasangan suami isteri lain.

"Ketika hamil, memang saya kurang aktif tetapi masih ambil tawaran berlakon. Selepas bersalin pun, saya berlakon semula.

"Bagi saya, itu bukan mengongkong. Sebaliknya, suami sekadar mengingatkan diri ini," katanya ketika ditemui di acara bazar hujung minggu yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Pada acara komuniti anjuran hotel yang disertai seramai 50 vendor itu, Nad turut menjual produk tudungnya.

Ditanya sama ada dia selesa dengan cara Ungku Ismail itu, Nad berkata, dia percaya suaminya itu mampu membentuk dirinya untuk menjadi seorang wanita yang lebih bertanggungjawab.

"Saya juga suka kalau ada orang yang boleh melentur saya. Tidak bermakna kalau sudah berkahwin saya tak boleh berlakon.

"Hidup saya kini banyak berubah selepas berkahwin dan semakin tenang berbanding dulu," katanya.

Nad berkata, dia juga perlukan orang yang faham situasinya sebagai ibu dan pelakon.

"Suami adalah individu yang faham akan keadaan ini kerana dia juga pelakon. Jadi mudah untuk kami mencorak kehidupan.

"Sebelum ini semua benda saya nak buat dan tergesa-gesa hingga akhirnya saya jadi seorang yang pemarah akibat tekanan. Tetapi sejak ada suami, dia banyak ajar saya perkara yang saya tak sedar," katanya.

Nad sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Faliq Amiruddin pada 18 Disember 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 8, dan Budi Kalsom, 4.

Bagaimanapun, mereka pada September 2022.

Nad kemudiannya berkahwin dengan Ungku Ismail pada 23 Januari tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ungku Indra Puteh Al Majid yang kini berusia sembilan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 5:28 PM