Nad Zainal
Nad Zainal
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Nad Zainal, 32, menjadikan pelakon, Noorkhiriah Ahmad Shapie sebagai contoh terbaik untuk selebriti bertudung yang terus berjaya dalam karier lakonan dengan pelbagai watak termasuk antagonis atau jahat.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin yang kini sudah tampil bertudung berkata, dia kagum dengan keperibadian Noorkhiriah yang disifatkan mampu menjadi contoh kepada selebriti wanita bertudung lain.

"Saya sebenarnya memang dah lama berhasrat untuk bertudung, cuma tidak tahu bila. Saya perlukan masa, jadi saya harap tolong berikan ruang kepada saya kerana masih ada kerja yang perlu saya habiskan tanpa imej begini (bertudung).

"Apapun, saya sama sekali tidak bimbang perubahan imej ini (bertudung) akan memberi kesan kepada kerjaya lakonan saya. Bagi saya, tawaran (berlakon) pasti akan ada.

"Lagipun, saya yakin walaupun sudah tampil bertudung, namun masih boleh membawakan apa saja watak dalam lakonan. Saya juga melihat kak Noorkhiriah sebagai contoh kerana dia tetap berjaya membawakan watak jahat dengan imej bertudung," katanya.

Nad berkata, dia memohon agar didoakan yang terbaik buatnya untuk terus istiqamah dengan penampilan bertudung itu memandangkan dia kini masih lagi dalam proses belajar.

"Saya tidak mahu cakap banyak atau bercerita mengenai penampilan terbaharu ini. Saya masih lagi belajar. Mohon doakan saja yang terbaik untuk saya," katanya ketika ditemui di majlis pratonton Mega Drama, Cina Buta lakonannya sebagai pelakon utama bersama Ungku Ismail, Aliff Aziz, Puteri Aishah dan ramai lagi.

Drama Cina Buta terbitan Radius One Sdn Bhd ini diarahkan Shahrulezad Mohameddin.

Siri 18 episod ini akan menemui penonton pada 9 November ini jam 9 malam.

Ia mengisahkan pasangan suami isteri, Sharnaz (Ungku Ismail) dan Mia Sara (Nad) yang sering bergaduh hingga melafazkan cerai lebih tiga kali. Namun, kerana cinta mereka mencari jalan untuk berkahwin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 3:50 PM