LEE Siew Tow dibawa ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini atas pertuduhan membenarkan enam imigran lelaki berada di dalam premisnya, April lalu. FOTO Muhamad Lokman Khairi
LEE Siew Tow dibawa ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini atas pertuduhan membenarkan enam imigran lelaki berada di dalam premisnya, April lalu. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Pengarah kilang perlombongan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membenarkan enam lelaki imigran berada di premisnya pada April lalu.

Tertuduh, Lee Siew Tow, 45, membuat pengakuan itu apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai orang yang bertanggungjawab atau mempunyai kawalan membenarkan enam imigran lelaki warga India, Bangladesh dan Myanmar berusia 20 hingga 41 tahun memasuki dan berada di premis kilang dengan pengetahuannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kilang perlombongan di Kawasan Perindustrian Pengkalan II, Pusing dalam daerah Kinta, pada 2.35 petang, 25 April lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak E Logentharan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM36,000 terhadap tertuduh, dan jika gagal bayar dia berdepan hukuman penjara enam bulan.

Siew Tow kemudian membayar denda terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 11:08 AM