Nad Zainal.
Nad Zainal.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : "Saya memilih untuk tidak fokus kepada sesiapa yang hilang dari 'radar'. Siapa yang ada, ada. Bab-bab siapa kawan siapa dan sebagainya, semua ini terlalu 'high school' untuk saya," kata pelakon, Nad Zainal apabila dikatakan sudah bermasam muka dengan beberapa rakan artis yang dulu adalah kawan rapatnya.

Nad yang kini di trimester ketiga kehamilan berkata, dia mengambil pendekatan untuk mengutamakan suaminya, Ungku Ismail dan anak-anaknya berbanding perkara remeh lain.

"Saya sedang gembira dengan suami dan anak-anak. Jadi, saya tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu. Masih ramai yang ada dengan saya, jadi saya okay saja.

"Tidak timbul istilah bermasam muka kerana kami masing-masing sudah dewasa. Banyak lagi perkara yang harus diberikan fokus. Contohnya seperti suami, anak-anak dan peminat yang banyak mendoakan walaupun saya sudah sihat.

"Bukanlah hendak katakan saya sudah matang, cuma saya fokus kepada mereka yang ada dan kekal untuk bersama. Banyak lagi yang ingin saya fikirkan," katanya.

Nad berkata, dia bersyukur terhadap peminat yang sering memberi sokongan dan terus mendoakan kesihatannya.

"Kadang-kadang saya tengok peminat atau orang yang dari luar sendiri datang dari jauh menunjukkan penghargaan kepada saya. Jadi perkara sebegitu yang mengajar saya.

"Bantuan kadang kala tidak datang daripada orang terdekat atau orang yang kononnya tahu mengenai kehidupan kita. Saya tidak mahu fikir banyak, apatah lagi anak saya sudah tiga orang," katanya.

Pada November tahun lalu, Nad dirawat di pusat perubatan akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Susulan keadaannya itu, rakan artis dan peminat melancarkan Tabung Kecemasan Nad Zainal bagi membantu keluarganya menampung kos rawatan di hospital.

Nad mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Ungku Ismail pada 23 Januari lalu dan kini menantikan kehadiran cahaya mata pertama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 1:25 PM