Feri dari Kuala Kedah ke Langkawi membawa 163 penumpang terkandas di tengah laut lebih lima jam dan tiba di Terminal Feri Langkawi pada jam 11.44 malam. FOTO Ihsan  KONSORTIUM FERRY LINE VENTURES SDN BHD
Feri dari Kuala Kedah ke Langkawi membawa 163 penumpang terkandas di tengah laut lebih lima jam dan tiba di Terminal Feri Langkawi pada jam 11.44 malam. FOTO Ihsan KONSORTIUM FERRY LINE VENTURES SDN BHD
Hamzah Osman


Langkawi: Feri yang membawa 163 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi terkandas lebih lima jam berhampiran Terminal Feri Kuala Kedah kira-kira jam 6.45 petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 7.5 batu nautika dari Terminal Feri Kuala Kedah berpunca akibat kerosakan membabitkan dua enjin yang berhenti secara mengejut.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, berkata kejadian berlaku beberapa minit selepas feri berlepas dari terminal Kuala Kedah.

"Feri membawa 163 penumpang dan terhenti secara tiba-tiba selepas kedua-dua enjin rosak, bagaimanapun beberapa minit kemudian kakitangan teknikal dapat memperbaiki satu enjin dan dapat berfungsi semula.

"Jadi pihak pengurusan berbincang dengan pelbagai pihak sama ada berpatah balik ke Kuala Kedah atau meneruskan perjalanan ke Langkawi menggunakan satu enjin," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Baharin berkata, pada waktu sama paras air di Kuala Kedah dalam keadaan cetek iaitu di bawah 1.2 meter dan tidak selamat untuk perjalanan dan feri berisiko tinggi untuk tersangkut pada beting pasir.

"Jika itu dilakukan (feri berpatah balik ke Kuala Kedah), kemungkinan penumpang akan berlepas dan hanya akan tiba di Langkawi sekitar jam 2.30 pagi berikutan air laut di Kuala Kedah mula pasang pada 12 tengah malam bagi membolehkan feri gantian digunakan.

"Ketika saat genting itu, pihak pengurusan memutuskan feri berkenaan perlu meneruskan pelayaran ke Langkawi menggunakan satu enjin dengan kelajuan 9.6 knot dan telah selamat tiba di Terminal Feri Langkawi pada 11.44 malam tadi," katanya.

Beliau berkata, sepanjang pelayaran menggunakan satu enjin itu feri terbabit dipantau dan diiringi bot penunda (tug boat) sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kejadian buruk yang boleh membahayakan penumpang.

"Malah, sepanjang kejadian konsortium amat menititikberatkan kebajikan penumpang termasuk mengagihkan makanan awal yang dibawa oleh bot penunda dari Kuala Kedah dan sekali lagi makanan diagihkan kepada penumpang sejurus mereka tiba di Terminal Feri Langkawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 10:56 AM