Bungkusan makanan ringan yang digantung dawai besi pagar yang mengandungi racun tikus bagi tujuan untuk perangkap monyet yang dimakan dua beradik berusia dua dan tiga tahun. FOTO IHSAN PDRM
Bungkusan makanan ringan yang digantung dawai besi pagar yang mengandungi racun tikus bagi tujuan untuk perangkap monyet yang dimakan dua beradik berusia dua dan tiga tahun. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Baling: "Agak mustahil keropok yang dicampur racun dan digantung pada ketinggian lebih 1.2 meter serta diikat dengan ketat menggunakan tali tangsi mampu dicapai kanak-kanak kecil.

"Bagi saya, sama ada ia diambil orang yang lebih besar atau dijatuhkan oleh kera liar sebelum diambil dua kanak-kanak itu dan makan," kata abang kepada pekebun yang didakwa menggantung keropok yang mengandungi racun tikus itu bagi menghalau kera liar.

Lelaki itu mendakwa, dia dimaklumkan oleh adik lelakinya yang berusia 34 tahun itu bahawa keropok itu tidak digantung pada pagar berdekatan jalan, sebaliknya diletakkan di kawasan laluan kera berdekatan hutan.

Dakwanya, tidak mungkin dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun itu dapat mengambil makanan ringan itu dengan mudah walaupun diikat pada pagar kebun.

"Hanya terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada orang dewasa mengambilnya atau kera ambil dan terjatuh di mana-mana.

"Adik juga beritahu dia meletakkan kira-kira lima bungkusan makanan ringan dicampur racun tikus pada pagar kebun dan tiga bungkusan dipercayai sudah diambil kera liar, manakala satu hilang dan satu lagi masih berada di situ," katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Berangan, di sini malam tadi.

Dia yang juga ahli keluarga kepada dua kanak-kanak itu hadir pada majlis pengebumian kanak-kanak, Muhammad Akil Syauqi, 3, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, di sini malam tadi.

Dakwanya lagi, racun tikus dari China dan tidak berdaftar itu turut digunakan beberapa pekebun lain di kawasan itu.

Katanya, sudah menjadi amalan biasa yang mana racun tidak berdaftar ini ada dijual di kedai di sekitar Kulim malah turut dijual secara dalam talian.

"Racun ini murah yang mana ia dijual pada harga RM3 sepeket.

"Memang biasanya guna makanan ringan jenis itu kerana warna bungkusan yang menarik selain warna keropok yang terang dan monyet akan menjilatnya apabila terkena pada bahagian jari.

"Kami tak guna buah sebab bimbang lembu yang kami ternak menjilat atau makan buah itu," dakwanya.

Lelaki itu mendakwa, berdasarkan pengetahuannya, kera liar yang mengambil jajan itu pasti akan memakan makanan itu.

Sementara itu, katanya, adik lelakinya yang juga seorang pekebun dan membela lembu itu ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Kulim, semalam untuk siasatan lanjut.

Lelaki itu mendakwa, dia juga adalah individu yang membawa arwah Muhammad Akil Syauqi dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, ke Klinik Kesihatan Malau untuk mendapatkan bantuan rawatan segera pada hari kejadian.

"Ibu arwah yang berlari meminta tolong dan saya bersama ibu turut membantu sedaya upaya kami. Kami mendoakan yang terbaik buat ibu arwah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 9:50 AM