GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Balik Pulau: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menjadi 'keldai akaun' kepada satu sindiket penipuan berkaitan pelaburan tidak wujud secara dalam talian, membabitkan kerugian hingga RM32,300 kepada mangsa baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Barat Daya di sini semalam.

"Siasatan mendapati mangsa membuat transaksi secara dalam talian ke akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM32,300, namun dia membuat laporan polis selepas menyedari menjadi ditipu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu.

Sementara itu Kamarul Rizal berkata Selasa lalu polis menahan empat lelaki berusia 25 hingga 33 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes samun tanpa senjata api di Bayan Baru, di sini minggu lalu.

Beliau berkata empat lelaki itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di sekitar sini hasil risikan serta maklumat awam, dan keempat-empat suspek kini direman bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 11:12 AM