Lelaki direman enam hari untuk membantu siasatan berhubung kejadian dua kanak-kanak termakan keropok mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Lelaki direman enam hari untuk membantu siasatan berhubung kejadian dua kanak-kanak termakan keropok mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Seorang lelaki direman enam hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun termakan keropok mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Kejadian pada Isnin lalu, menyebabkan seorang mangsa yang berusia tiga tahun meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas tiga hari bertarung nyawa.

Permohonan reman terhadap lelaki yang juga pemilik pekebun berusia 33 tahun itu dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen Mirza Mohamad bermula hari ini hingga 17 Julai.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan benda beracun.

Semalam, media melaporkan seorang daripada dua beradik yang termakan keropok disyaki bercampur racun tikus meninggal dunia pagi semalam.

Jenazah Muhammad Akil Syauqi, 3, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling pada jam9.45 malam tadi .

Manakala adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, dilaporkan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Terdahulu, media melaporkan, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas termakan keropok disyaki bercampur racun tikus yang digantung di pagar dawai besi dekat kebun tidak jauh dari rumah mereka.

Perbuatan itu dilakukan pemilik kebun dipercayai bagi tujuan menghalau haiwan liar yang berkeliaran dan mengganggu tanaman yang diusahakan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 10:50 AM