Kemalangan yang berlaku di lampu Isyarat KFC, di sini. FOTO Ihsan pembaca
Kemalangan yang berlaku di lampu Isyarat KFC, di sini. FOTO Ihsan pembaca
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Polis mengesahkan pemandu lori balak yang terbalik di Persimpangan Bendahara, di sini, pada Selasa lalu tidak mempunyai lesen.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, saman turut dikeluarkan kepada pemilik lori kerana membenarkan ia dipandu individu yang tidak mempunyai lesen.

"Hasil siasatan mendapati pemandu berusia 24 tahun terbabit tidak mempunyai lesen. Kami mengeluarkan saman terhadapnya dan juga kepada pemilik lori kerana membenarkan lori miliknya dipandu oleh individu yang tidak mempunyai lesen.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerna memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang wanita cedera parah apabila dirempuh kayu balak yang tergolek dari lori yang terbalik di Persimpangan Bendahara, di sini.

Mangsa, Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) dan dalam pemantauan rapi selepas mengalami kecederaan patah bahagian tulang punggung dan tulang rusuk akibat dirempuh kayu balak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 11:17 AM