Fauziah Ahmad menyuap minuman untuk anaknya, Muhammad Firdaus Mohd Zul, 15, yang menghidap kanser tulang sejak Mei lalu menyebabkan dia terlantar dan tidak dapat bergerak.STR/ZULIATY ZULKIFFLI
Fauziah Ahmad menyuap minuman untuk anaknya, Muhammad Firdaus Mohd Zul, 15, yang menghidap kanser tulang sejak Mei lalu menyebabkan dia terlantar dan tidak dapat bergerak.STR/ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Saya teringin nak ke sekolah semula sebab rindukan cikgu dan rakan-rakan tetapi apakan daya tak dapat bergerak akibat menghidap kanser tulang (osteosarcoma) yang sudah merebak hampir sampai ke otak," kata Muhammad Firdaus Mohd Zul, 15.

Muhammad Firdaus yang kini hanya terlantar di atas katil tidak menyangka dia yang dahulunya seorang atlet di sekolah, kini tidak dapat bergerak hanya disebabkan kanser itu yang menyerang sejak Mei lalu.

Katanya, sepanjang sakit, rakan baiknya kerap menghubungi dan menziarahinya sambil memberi semangat kepadanya supaya kuat dan tabah hadapi ujian yang menimpanya.

"Saya sedih kerana tak dapat ke sekolah macam dulu tetapi cikgu-cikgu faham dengan keadaan saya dan mereka suruh berehat dan tumpukan rawatan dahulu.

"Kalau boleh saya nak cepat sembuh dan dapat melakukan aktiviti di sekolah seperti dulu kerana bosan duduk di rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Marina, Jalan Kuala Kedah, di sini semalam.

Ibunya, Fauziah Ahmad, 46, berkata, Muhammad Firdaus adalah anak tunggalnya, hasil perkahwinan dengan suami, Mohd Zul Shidin, 46.

Katanya, anaknya mula dikesan menghidap kanser selepas dia mengadu kaki sebelah kirinya tidak dapat bergerak sebaik pulang dari aktiviti merentas desa di sekolahnya di Sekolah Menengah (SM) Tunku Laksamana, Jalan Kuala Kedah, di sini Mei lalu.

"Dia beritahu saya, kaki kirinya terasa berat dan kebas menyebabkan saya terus membawanya ke klinik berhampiran untuk membuat pemeriksaan.

"Namun doktor hanya memberinya ubat saraf tetapi keadaan tidak berubah malah kaki kirinya makin sakit.

"Saya dan suami membawa Muhammad Firdaus ke sebuah pusat perubatan swasta untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan doktor mencadangkan anak saya menjalani ujian pengimejan resonans magnet (MRI)," katanya.

Menurut Fauziah, hasil laporan MRI mendapati, terdapat ketumbuhan pada tulang belakang dan paru-paru dan perlu dirujuk di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Katanya, sebelum ini Muhammad Firdaus juga pernah mengadu sakit dan lenguh di bahagian bahu dan hanya menampal koyok bagi meredakan kesakitannya.

"Anak saya kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan sudah menjalani empat kali rawatan kemoterapi dan masih ada dua kali rawatan kemoterapi lagi yang perlu dilakukan.

"Doktor memberitahu anak saya tidak dapat berjalan disebabkan gangguan saraf yang sudah hampir sampai ke otak dan saya perlu mengikut semua rawatan yang perlu dilakukan," katanya.

Menurutnya lagi, suaminya bekerja sebagai jurumesin di sebuah syarikat dan terpaksa mengambil cuti sekiranya anak mereka dimasukkan ke hospital.

Katanya, disebabkan itu, mereka terpaksa berulang alik dari rumah ke HPP setiap tiga minggu sekali atau dua minggu sekali untuk menemani anak mereka mendapatkan rawatan.

"Kami pernah tinggal sebulan di Pulau Pinang dan terpaksa menyewa motel untuk bergilir menjaga anak di wad dan keadaan itu menyebabkan wang simpanan saya sudah berkurangan," katanya.

Fauziah berkata, sebelum ini dia berniaga sembilan menjual burger di hadapan rumah untuk menyara keluarga tetapi tidak dapat berniaga sejak sebulan lalu selepas anaknya sakit.

Katanya, dia buntu memikirkan masalah kewangan yang dihidapi kerana hanya mengharapkan pendapatan suami sepenuhnya yang tidak mencukupi.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun bapa Muhammad Firdaus iaitu Bank Muamalat 02010000057527 (Mohd Zul Shidin).

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal mengunjungi pesakit itu dan menghulurkan sedikit sumbangan untuk kegunaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 10:59 AM