PEMAIN Colombia meraikan kejayaan mereka ke final Copa America. -FOTO AFP
PEMAIN Colombia meraikan kejayaan mereka ke final Copa America. -FOTO AFP
Reuters

Charlotte: Colombia mengesahkan tempat ke final Copa Amerika selepas menewaskan Uruguay 1-0 dalam aksi separuh akhir biarpun beraksi dengan 10 pemain selama 45 minit.

Colombia mara ke final hasil tandukan Jefferson Lerma pada separuh masa pertama.

Jurulatih Colombia, Nestor Lorenzo gembira kerana perjudiannya untuk mengekalkan pemain di bahagian serangan berhadapan Uruguay biarpun beraksi dengan 10 pemain membuahkan hasil.

"Salah satu topik utama yang kami bincangkan adalah kami tidak mahu kekurangan seorang pemain. Hampir mustahil untuk mengekalkan prestasi dengan 10 pemain di padang.

"Pasukan yang mendominasi lawan mereka apabila mereka kekurangan pemain akan tersingkir daripada kejohanan. Kami benar-benar menganalisis situasi itu.

"Dengan formasi, kami hanya mempunyai dua pilihan 5-4, 5-3-1 atau untuk mengekalkan 4-3-2 dan mencipta peluang.

"Kami memilih yang terakhir dan Tuhan memihak kepada kami. Beberapa peluang mereka tidak masuk, tetapi kita juga gagal menjaringkan beberapa gol dan akhirnya kita berjaya," kata Lorenzo

Uruguay cuba mengancam gawang Colombia menerusi Darwin Nunez yang terlepas beberapa peluang pada separuh masa pertama.

Colombia kemudiannya membalasnya menerusi gol tunggal perlawanan oleh Lerma pada minit ke-39 apabila tandukannya melepasi penjaga gol Sergio Rochet.

Colombia terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejurus sebelum rehat apabila Daniel Munoz dibuang padang kerana kekasaran yang dilakukan apabila bek kanan itu menerima kad kuning kedua kerana menyiku Manuel Ugarte di dada ketika permainan dihentikan.

Uruguay cuba bangkit dan mendominasi penguasaan bola pada separuh masa kedua dengan penyerang veteran Luis Suarez hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya terkena tiang.

Colombia kemudiannya terpaksa menggunakan pendekatan untuk bertahan selepas berjaya menjaringkan gol pertama dan akan menentang Argentina pada perlawanan akhir Isnin ini.

Uruguay akan menentang Kanada sehari lebih awal dalam penentuan tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 10:49 AM