Dr Mohd Marzuki (tengah) bersama Bokhari (dua, kiri), menyampaikan deraf buku kepada Sharifah (tiga dari kanan) bersama Megat Mohd Syahraini dan Syafrina. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Dr Mohd Marzuki (tengah) bersama Bokhari (dua, kiri), menyampaikan deraf buku kepada Sharifah (tiga dari kanan) bersama Megat Mohd Syahraini dan Syafrina. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Sudirman Mohd Tahir


BAGI mengenang jasa dan sumbangan Allahyahrham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dalam muzik tradisional dan irama Malaysia, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) bakal menerbitkan buku biografi komposer terkenal itu.

Buku berjudul Pak Ngah Komposer Agung Muzik Irama Malaysia Hilangmu Tiada Berganti adalah hasil tulisan Pengarah Eksekutif Dinasti Teratai, Bokhari Abdullah.

Anak sulung Allahyarham, Siti Syafrina, 32, berkata, penerbitan buku itu adalah satu kebanggaan mereka sekeluarga apatah lagi ia bakal dijadikan rujukan oleh pelajar dan pendidik dalam bidang muzik irama Malaysia.

"Kami amat berbesar hati apabila pihak ATMA sudi menerbitkan perjalanan hidup Abah (arwah) selama hayatnya. Sebagai anak, ia satu kebanggaan kerana tidak pernah menjangka arwah abah mendapat penghargaan hingga tahap ini.

"Sudah tentu saya bersama keluarga akan memberikan kerjasama baik kepada penulis. Diharapkan buku ini dapat dijadikan panduan buat semua pencinta muzik irama Malaysia. Tak sabar untuk menantikan hasil buku ini," katanya kepada Harian Metro.

Syafrina ditemui pada Majlis Belansungkawa Allahyarham Pak Ngah di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini, berkata, antara isi kandungan buku itu memaparkan jatuh bangun arwah dalam memartabatkan irama traditional hingga dikenali di rantau Asia.

Bokhari berkata buku itu sudah siap ditulis sebanyak 40 peratus dan dijangka dilancarkan sempena ulang tahun kelahiran arwah pada 26 September tahun depan.

"Bukan tugas mudah untuk menghasilkan buku ini. Jadi untuk mendapatkan fakta dan kisah menarik, saya perlukan kerjasama daripada keluarga dan kenalan arwah. Saya cuba buat yang terbaik.

"Saya ingin jadikan buku ini sebagai penanda aras dalam bidang seni terutama dari segi mendokumentasikan perjuangan arwah dari awal sampai akhir hayatnya. Ia juga penting supaya generasi muda lebih tertarik untuk membaca.

"Apabila buku ini siap, saya nak bawa buku ini ke negara lain seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thailand. Seperti mana semua tahu, nama arwah bukan saja dikenali di sana tetapi beberapa karya agungnya masih mekar," katanya.

Semasa hayatnya arwah dilantik menjadi Profesor Adjang ATMA beberapa bulan sebelum meninggal dunia.

Selain keluarga arwah iaitu isteri, Datin Sharifah Mahani Syed Kassim bersama dua anak, Syafrina dan Megat Mohd Syahraini, majlis anjuran ATMA itu turut dihadiri kenalan rapat.

Antaranya, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, penulis lirik, Syed Indera Syed Omar (Siso), Hairul Anuar Harun, Kamarulzaman Taib (Che Kem), mantan pegawai khas Pak Ngah di Pak Ngah Production, Azman Long dan adik arwah, Noraini Mohd Zain.

Turut majlis itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa.

Pak Ngah meninggal dunia akibat serangan jantung di Tanjung Pinang, Batam, Indonesia pada 25 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 7:09 PM