PERSEMBAHAN mantap Siti Nurhaliza. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
PERSEMBAHAN mantap Siti Nurhaliza. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
Oleh Sudirman Mohd Tahir

KONSERT Karya Agung Pak Ngah 2019 yang diadakan selama dua hari pada Khamis dan Jumaat lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur berlangsung dengan jayanya.

Konsert bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) itu diadakan bagi menghargai karya dan jasa Allahyarham Pak Ngah atau nama sebenarnya Datuk Suhaimi Mohd Zain yang turut digelar Bapa Tradisional Malaysia.

Lebih manis apabila konsert itu menampilkan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga antara penyanyi yang banyak menyanyikan lagu ciptaan Pak Ngah.

Malah, kebanyakan lagu ciptaan Pak Ngah buat Siti menjadi ingatan dan malar segar sehingga hari ini.

Sepanjang dua jam persembahan, Siti menyanyikan sembilan lagu antaranya Cindai, Hati Kama, Balqis, Nirmala, Jelmakan Ayumu, Ya Maulai, Kurik Kundi dan Bergending Dang Gong.

“Pembabitan pada konsert ini antara cara saya membalas jasa Allahyarham Pak Ngah yang banyak membantu awal pembabitan kerjaya saya. Tidak saya nafikan kasih sayang arwah dan keluarganya masih dapat dirasakan sehingga hari ini. Walaupun Pak Ngah sudah tiada, dia tetap ada di hati saya,” katanya.

Siti turut mengucapkan tanda penghargaan dan terima kasih kepada keluarga Pak Ngah kerana menjemputnya bagi menjayakan konsert itu.

“Terima kasih Istana Budaya, Orkestra Tradisional Malaysia, Artis Tari Istana Budaya, penari cilik Swatari dan semua yang terbabit. Tahniah dan terima kasih Mak Ngah, Megat dan Rina kerana berjaya mengadakan konsert ini dan meneruskan usaha arwah Pak Ngah. Semoga akan lebih banyak lagi konsert seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Selain Siti, konsert itu turut dimeriahkan dengan pembabitan empat penyanyi berbakat tanah air iaitu Syamel, Ernie Zakri, Asmidar dan Rojer Dangdur Star.

Selain Siti, mereka ini antara generasi muda yang dilihat berpotensi besar menyambung warisan budaya untuk terus kekal selama-lamanya.

Ernie dan Syamel menyampaikan lagu ciptaan Pak Ngah yang dipernah dipersembahkan pada teater muzikal seperti Muzikal Rubiah, Muzikal Randai Cinduo Mato, Aladdin dan Puteri Hang Lipo.

Sementara Asmidar dan Rojer pula menyanyikan lagu ciptaan Pak Ngah dari pentas teater yang dikomersialkan.

Lagu itu antaranya Laksama Raja Di Laut, Sulam Sembilan dan Dikir Puteri.

Selain itu, turut disampaikan lagu ciptaan Pak Ngah yang dinyanyikan penyanyi Indonesia.

Antaranya, lagu Puteri Impian nyanyian asal Nassar, Bidadari Jiwa nyanyian asal Danang dan Zapin Melayu nyanyian asal Lesti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 5:10 AM