Dharma Harun.
Dharma Harun.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Dharma Harun Al-Rashid enggan mengambil pusing mengenai kecaman yang dilemparkan terhadap dua anaknya Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, yang didakwa enggan bekerja untuk membantu masalah kewangan yang dihadapinya.

Dharma berkata, orang luar tidak mengetahui hujung pangkal cerita dan terus menghukum anak-anaknya sedangkan dia sendiri yang menggalakkan mereka untuk menyambung pengajian pada usia sebegitu.

"Saya sedar mengenai kecaman dilemparkan pada mereka. Sudah tentu sebagai bapa saya berasa sedih anak dituduh dan dicaci.

"Sebenarnya dari umur 18 tahun lagi mereka dah ikut saya buat filem. Mereka tolong produksi saya buat drama dan program televisyen.

"Merekalah yang berlakon, tulis skrip, menerbit dan mengarah. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami memang tak berdepan masalah kewangan.

"Bagaimanapun masalah mula berlaku apabila sebuah stesen TV yang berjanji untuk membeli program terbitan syarikat saya berjudul Deko Ibadah bernilai RM312,000 tidak berbuat demikian.

"Saya fikir kalau dapat duit itu, saya adalah duit dan minta anak-anak sambung pengajian, tapi malangnya duit itu tak masuk hingga saya dibebani masalah," katanya.

Menurut Dharma, dia mengaku bingung apabila orang luar begitu keras menghentam anak-anaknya sedangkan mereka melakukan sesuatu yang baik untuk masa depan yang lebih cerah.

"Saya pun tak faham kenapa orang luar marah sangat anak sambung belajar. Kalau anak-anak saya tengah melepak di pusat-pusat beli belah, bolehlah mereka marah tapi mereka pergi sambung belajar.

"Selama ini mereka ikut segala permintaan saya dan mula terbabit dalam dunia penerbitan sehingga tiada masa untuk sambung pengajian, jadi saya percaya ini adalah masa yang terbaik.

"Lagipun saya nak mereka ada pendidikan supaya senang nak cari kerja tetap. Tak perlulah mereka nak hidup susah lagi," katanya sambil mengalirkan air mata.

Sementara itu, anak sulungnya Siti Qurratu Aini, mengambil langkah berdiam diri dan tidak melatah dengan kecaman yang diterima.

"Saya tak boleh tutup mulut orang. Jika saya di pihak yang betul maka tak perlu bising-bising.

"Sebelum ini kami tak hadapi masalah kewangan jadi fokus saya hanya belajar saja. Tapi tak sangka pula kami akan diuji.

"Saya tahu ada yang persoalkan kenapa tak bekerja sambil belajar, jujurnya jadual belajar saya terlalu padat tapi mungkin selepas ini saya akan pertimbangkan," katanya yang akan menghabiskan pengajian dalam bidang sarjana muda penulisan dengan kepujian (penulisan filem dan televisyen) di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 2:17 PM