Azmir Saifuddin Mutalib.
Azmir Saifuddin Mutalib.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib memaklumkan, pihaknya mengikuti secara rapat perkembangan pelakon popular era 80-an, Dharma Harun Al-Rashid yang berdepan masalah kewangan.

Pelakon filem Adik Manja dan Sikit Punya Gila menerusi pertemuan dengan Karyawan minggu lalu memberitahu, masalah kewangan mula melandanya apabila program terbitannya di sebuah stesen TV tidak dibayar.

Azmir berkata, Dharma sememangnya menerima dana Finas dengan tujuan menghasilkan program untuk disiarkan di mana-mana platform TV.

"Bagaimanapun saya dah tengok kontrak dengan stesen TV tersebut, tidak menyatakan untuk mereka membeli tapi untuk siaran itu ada. Saya sudah maklumkan kepada abang Dharma perkara tersebut.

"Mungkin apa yang kita boleh bantu beliau, di mana apabila Dana Kandungan Digital (DKD) baru keluar nanti bolehlah beliau mohon," katanya ditemui pada pelancaran Festival Budaya Filem China-Malaysia sempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia di sebuah pawagam, di sini, semalam.

Azmir berkata, berkemungkinan semasa dana tersebut diberi oleh pengurusan Finas terdahulu, dana dikeluarkan kepada penerbit dan projek terbabit dihasilkan dan disiarkan di mana-mana platform.

"Saya tak pasti perbincangan itu adakah memang stesen TV perlu membayar atau tidak? Saya memang pernah lihat kontrak itu dan memang tidak menyatakan bahawa stesen TV itu perlu membayar.

"Apa yang saya lihat menerusi dana-dana ini, kita memang nak beri peluang kepada penerbit seperti abang Dharma menghasilkan projek, menghasilkan satu IP (Harta Intelek) untuk penerbit.

"Kalau boleh IP ini kita mohon kepada stesen TV untuk beli dengan bayaran yang dipanggil 'distribution rights' atau hak siaran sahaja, bukan komisen. Untuk hak siaran atau distribution ini, dia lebih ke arah 'syndication prizing'," katanya.

Menurutnya dalam masa terdekat ini juga, pihaknya akan berbincang dengan stesen TV untuk melihat bagaimana program-program yang dibiayai di bawah Finas untuk dibeli dari sudut hak pengedaran atau hak siaran ini.

"Untuk abang Dharma, Finas dah bantu dari segi kewangan beliau dan saya pun dah berbincang dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Selangor (Perkeso) bagaimana kalau boleh dibantu kerana Perkeso ada sinergi program bersama agensi lain.

"Insya Allah kita akan berbincang dengan Perkeso bagaimana nak bantu abang Dharma," katanya. Terdahulu, Dharma mendedahkan sudah enam bulan pihaknya gagal mendapatkan penjelasan mengenai pembatalan perjanjian rancangan terbitannya WWS Studio di sebuah stesen TV.

Dharma mendakwa syarikat penyiaran berkenaan enggan memberikan kerjasama walaupun menandatangani kontrak membeli hak cipta rancangan terbitannya, bernilai RM312,000.

Susulan daripada itu, Dharma mengakui mengalami kesempitan wang sehingga dihalau keluar daripada rumah kerana gagal membayar tunggakan sewa bernilai RM7,500.

Semalam Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim menerusi Yayasan Budi menyampaikan sumbangan sebanyak RM9,000 bagi membantu meringankan beban pelakon itu melangsaikan tunggakan sewa rumah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 1:21 PM