Cheb, isteri Azura dan Rozita ketika menziarahi Jay Jay di IJN.
Cheb, isteri Azura dan Rozita ketika menziarahi Jay Jay di IJN.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi popular era 1970-an, Jay Jay, 66, dijadualkan akan menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass) kerana masalah jantung tersumbat di Institut Jantung Negara (IJN) pagi esok.

Penyanyi nasyid yang juga penggiat industri seni, Cheb Ali Masrawi berkata, dia dapat tahu berita mengenai Jay Jay dimasukkan ke IJN melalui penyanyi Rozita Rohaizad yang juga Ahli Jawatankuasa Karyawan (AJK) Persatuan Karyawan.

"Saya dan isteri (penyanyi Azura Aziz) terus ke IJN bersama Rozita untuk melawat abang Jay Jay semalam.

"Keadaan abang Jay Jay okay. Dia boleh bercakap dan selera makan macam biasa. Ada isteri dan anggota keluarga lain turut menemaninya di wad," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai keadaan Jay Jay pula, kata Azura, difahamkan penyanyi itu tidak tahu dirinya ada menghidap penyakit jantung sebelum ini.

"Abang Jay Jay tak percaya dirinya ada sakit jantung kerana tidak pernah buat 'check up' (pemeriksaan kesihatan) seumur hidupnya.

"Dia (Jay Jay) mendapat serangan jantung ringan dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur, baru-baru ini," katanya.

Pada masa sama, kata Azura, dia dan suami yang juga AJK Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit (3P) Muzik Malaysia juga mengatur majlis doa selamat secara online (maya) untuk Jay Jay dan semua anak seni yang diuji penyakit ketika ini.

Presiden 3P Muzik Malaysia adalah penyanyi popular era 90-an, Aris Ariwatan.

"Kami juga mohon semua peminat untuk sama-sama mendoakan pembedahan itu berjaya dan Abang Jay Jay segera sembuh," katanya.

Terdahulu, Cheb Ali berkongsi berita mengenai keadaan Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus yang kini dirawat di IJN kerana penyakit jantung di aplikasi TikTok miliknya.

Antara lagu popular bekas penyanyi kumpulan Carefree ini ialah Rindu Bayangan dan Angan Tak Sudah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 3:46 PM