Zulkifli ditemani isteri Normala ketika menerima kunjungan Freddie dan Rozita.Foto Michelle Gun
Zulkifli ditemani isteri Normala ketika menerima kunjungan Freddie dan Rozita.Foto Michelle Gun
Michelle Gun


Kuala Lumpur: Pelakon veteran Datuk Zulkifli Zain, 70, yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung, kelmarin mahu terus aktif dalam industri seni tanah air selepas kesihatannya pulih nanti.

Zulkifli yang turut diserang angin ahmar pada Januari lalu kini ditempatkan di Wad Pemulihan Jantung, HKL berkata, semangat untuk meneruskan kerjaya seninya itu kerana ingin membantu rakan seperjuangan.

"Saya belum bersedia untuk berehat dari lakonan kerana tahu bakat saya masih diperlukan," katanya.

Zulkifli ditemui di wad berkenaan selepas menerima bantuan daripada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang diketuai Presidennya, Datuk Freddie Fernandez dan penyanyi Rozita Rohaizad, hari ini.

Sementara itu, isteri Zulkifli, Datin Normala Omar yang juga pelakon berkata, suaminya lumpuh di bahagian kaki dan tangan kiri selain terpaksa makan melalui tiub sejak diserang angin ahmar.

"Ini kali pertama dia diserang angin ahmar. Sebelum itu, dia batuk tanpa henti. Malah beberapa hari sebelum itu, kami baru selesai penggambaran program Datin Masak Datuk Suka," katanya.

Menurutnya, Zulkifli pernah beberapa kali terkena serangan jantung dan penyakit itu kembali kelmarin akibat tekanan darah rendah ketika membuat rawatan fisioterapi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 6:28 PM