Jay Jay
Jay Jay

Kuala Lumpur: Penyanyi Jay Jay, 67, kini dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tempatan (YKAT), Datuk DJ Dave yang melawat penyanyi popular era 1970-an berkata beliau bersyukur melihat keadaan penyanyi itu sudah mampu tersenyum.

"Alhamdulillah saya dapat melawatnya. Meskipun dalam keadaan sakit tapi dia tetap mengukir senyuman. Sama-samalah kita mendoakan agar dia segera sembuh", katanya.

Jay Jay yang popular dengan lagu Joget Angan Tak Sudah itu juga memberitahu agar tidak perlu gusar kerana pihak IJN, doktor-doktor dan jururawat menjaga dan memantaunya dengan baik.

Pembedahan terbabit dilaporkan berlangsung selama enam jam itu yang dikendalikan Prof Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib.

DJ Dave juga sempat menghubungi dan berbual dengan penyanyi popular era 1970-an itu Rabu lalu sebaik mengetahui dia berada di IJN.

Dia bercadang melawat dan memberi sumbangan kepada Jay Jay.

Pada lawatan itu, YKAT menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada Jay Jay.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 11:37 AM