Freddie Fernandez.
Freddie Fernandez.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Terdapat kira-kira 50 artis yang kini hidup susah dan memerlukan bantuan kewangan. Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkata, kebanyakan yang diuji masalah kewangan itu adalah golongan veteran akibat sakit serta hilang upaya untuk bekerja bagi meneruskan kelangsungan hidup, termasuk tiada tawaran kerja dan sebagainya.

"Justeru, Karyawan cuba berusaha menganjurkan pelbagai program hiburan seperti persembahan makan malam dengan menjual meja untuk mengumpul sumbangan bagi mengisi dana Tabung Karyawan untuk kegunaan kebajikan.

"Bagaimanapun, jumlah sumbangan yang dapat kita (Karyawan) kumpul tidaklah banyak sangat, namun usaha akan diteruskan tanpa kecewa atau berasa patah semangat. Ini kerana, niat Karyawan untuk membantu selagi termampu," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya jumlah dana terkumpul dalam Tabung Karyawan sehingga kini, Freddie berkata, dianggarkan kira-kira RM100,000 dan atas sebab itu, dia berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperoleh bantuan daripada kerajaan dapat menghulurkan sedikit sumbangan.

"Sejujurnya, saya amat mengalu-alukan NGO yang mendapat bantuan daripada kerajaan untuk membantu menghulurkan sedikit sumbangan dana kepada Tabung Karyawan kerana jumlah kewangan terkumpul ketika ini agak terhad.

"Buat masa ini, Tabung Karyawan baharu ada dana terkumpul kita sebanyak RM100,000 dan jumlah itu tidak cukup sebenarnya untuk kami hulurkan bantuan secara berterusan, terutama bagi membantu artis veteran yang sakit dan sudah tidak boleh bekerja," katanya.

Freddie berkata, mereka yang ingin membantu boleh hubungi pihak persatuan di talian 03-40317666.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 1:22 PM