Freddie Fernandez
Freddie Fernandez
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Datuk Freddie Fernandez kekal menerajui Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sebagai Presiden bagi penggal 2023 sehingga 2026.

Freddie berkata, dengan tanggunjawab digalas itu beliau akan tetap bangkit memperjuangkan isu dan masalah membabitkan ahli-ahli persatuan akan terus diberi perhatian agar kebajikan mereka dibela.

"Karyawan akan mengadakan pelbagai aktiviti untuk mengisi tabung persatuan supaya kami dapat meneruskan usaha menjaga hak kebajikan dan kepentingan semua ahli.

"Begitu juga isu royalti artis, masalah dihadapi artis rakaman, pemuzik kelab dan hotel, pemuzik dan artis jalanan atau buskers, termasuk isu bayaran persembahan yang sering kali menyaksikan artis tempatan dipinggir berbanding artis luar negara perlu diberi perhatian sewajarnya," katanya.

Terdahulu, pemilihan Freddie kekal sebagai Presiden diundi secara sebulat suara oleh ahli-ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Karyawan ke-24 yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Selain Freddie, turut dibuat pemilihan adalah jawatan Ahli Lembaga Eksekutif yang mana pelakon, Radhi Khalid dipilih sebagai Timbalan Presiden, Rozita Rohaizad (Setiausaha Kehormat), Kamal Kassim (Bendahari) serta enam Ahli Jawatankuasa iaitu Norshila Amin, Jude Singho, Don Guerzo, Putri Balqish Agalan, Helmi Gimmick dan Haniah Hassan.

Freddie berkata, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya melalui Karyawan turut menyalurkan bantuan kepada ramai artis termasuk artis rakaman, kelab dan penggiat seni dari bidang lain yang juga ahli Karyawan.

"Kami di Karyawan amat berterima kasih kepada kementerian serta agensi kerajaan lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sentiasa menyokong usaha dan aktiviti ahli-ahli Karyawan.

"Selain itu, Karyawan juga menyeru dan menggalakkan ahli-ahli kami untuk mencarum bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) agar mendapat manfaat jika ditimpa kemalangan mahupun meninggal dunia ketika bekerja," katanya.

Pada majlis AGM itu semua ahli Karyawan mendapat penerangan mengenai fungsi dan caruman Perkeso daripada wakil Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri agensi berkenaan.

Sejak 2021, Karyawan menjalankan aktiviti kebajikan dan bantuan kepada ahli-ahli yang menghadapi masalah akibat ketiadaan sumber rezeki.

Ini termasuk membantu dua artis yang mengalami penyakit serius iaitu Iskandar Spring dan Ibnor Riza, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 3:17 PM