DATUK Freddie Fernandez
DATUK Freddie Fernandez
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mengakui dia kini dalam usaha cuba membantu pelakon popular era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, 68, untuk melunaskan sewa rumah tertunggak dihadapinya.

Freddie berkata, dia mahu merujuk kepada Pusat Zakat atau Baitulmal bagi mendapatkan bantuan kewangan sementara berikutan pelakon filem Adik Manja itu berstatus asnaf dan sudah lama tidak bekerja akibat masalah kesihatan.

"Karyawan sudah pun menghulurkan bantuan kewangan kepada Dharma baru-baru ini. Jadi, sekarang saya nak cuba usahakan membantu dia dengan merujuk masalah kewangan dihadapi bagi selesaikan sewa rumah tertunggak itu kepada Pusat Zakat atau Baitulmal untuk bantuan.

"Ini kerana, saya dapati masalah kewangan dihadapi Dharma sekarang bersifat sementara kerana kedua-dua anaknya masih lagi belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Tetapi, anak bongsunya akan tamat (belajar) kira-kira dua bulan lagi.

"Oleh itu, saya yakin dia (anak Dharma) akan bekerja selepas habis belajar nanti untuk membantu bapanya. Lagi pula, memang dia sudah bekerja sambilan pun sebelum ini dengan pendapatan gaji, RM300 sebulan," katanya kepada Harian Metro.

Freddie berkata, Dharma adalah ahli seumur hidup Karyawan dan semestinya dia akan cuba membantu apa yang termampu oleh persatuan berikutan dana di dalam Tabung Karyawan juga jumlahnya terhad, kira-kira RM100,000.

"Sejujurnya, saya amat mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperoleh bantuan daripada kerajaan untuk membantu menghulurkan sedikit sumbangan dana kepada Karyawan kerana kami ada senarai nama kira-kira 50 artis yang perlukan bantuan.

"Kebanyakan mereka ini adalah penggiat seni veteran dalam keadaan uzur serta hilang upaya untuk bekerja bagi meneruskan kelangsungan hidup, termasuk tidak menerima tawaran bekerja dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, Freddie juga memohon agar netizen di media sosial tidak lagi mengecam anak-anak Dharma kerana tidak bekerja dan masih sibuk dengan pelajaran walaupun usia masing-masing sudah melewati 30-an.

"Bagi mereka (anak Dharma) peluang habiskan belajar dulu. Saya pun tahu anak sulungnya ada dua tahun lagi untuk habis belajar di Aswara. Tapi, macam saya kata, anak-anak Dharma ini tetap ada kemahuan untuk bekerja.

"Malah, mereka juga tidak minta untuk hidup susah, namun inilah ujian yang perlu dilalui keluarga itu kerana Dharma juga sakit. Kepada pihak yang ingin bantu boleh hulurkan sumbangan ke akaun 3108024130 (Public Bank- Persatuan Karyawan Malaysia) dan tuliskan rujukan 'Untuk Dharma' atau boleh hubungi Karyawan di talian 03-40317666," katanya.

Terdahulu, Dharma yang pernah popular dengan watak Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja terpaksa akur dengan arahan mengosongkan kediaman yang disewanya di Wangsa Maju pada hujung Jun ini selepas gagal membayar sewa tertunggak.

Pelakon yang berhadapan masalah kesihatan akibat diserang angin ahmar itu difahamkan kusut memikirkan bagaimana hendak melunaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM7,500 berikutan notis sudah dikeluarkan oleh pemilik.

Menurut Dharma, dia dan dua anaknya iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, perlu melunaskan tunggakan bayaran sewa itu segera, namun anaknya tidak bekerja kerana masih belajar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 2:32 PM