Sharifah Shahirah
Sharifah Shahirah
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pengacara dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu Ringgit akibat tindakan penyewa rumahnya yang didakwa tidak bertanggungjawab.

Sharifah Shahira atau Shiera berkata, dia mengalami kerugian besar kerana banyak kerosakan berlaku di rumah itu.

"Dia tinggalkan semua barang yang dia tak mahu. Saya pula terpaksa sewa lori untuk buang semua barang itu.

"Dia tinggalkan tilam miliknya, tapi tilam saya mana? Saya beli tilam itu untuk dia (penyewa) masuk rumah, tapi sekarang dia bawa tilam saya pula!

"Awak (penyewa) memang banyak merugikan saya. Saya tak boleh tunggu duit awak dan kena buat 'report' (laporan)," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Shiera menganggap perkara yang terjadi itu sebagai ujian pada bulan Zulhijjah.

"Jika nak diikutkan, saya tidak mahu ketengahkan isu penyewa ini kerana sudah lama berlaku sejak 2009 dan masih tiada penyelesaian.

"Setiap kali ada penyewa, saya akan menanggung kerugian mencecah RM10,000 dengan kerosakan yang ditinggalkan di rumah atau kondo yang disewakan. Saya memang selalu bernasib malang jika membabitkan hal penyewa ini.

"Orang juga akan salahkan tuan rumah pula bila perkara seperti ini berlaku. Jadi biarlah netizen saja yang selesaikan," katanya.

Terdahulu, Shiera memuat naik hantaran di Instagram Story meluahkan rasa tidak puas hati kepada penyewa rumahnya yang dikenali sebagai Halimah.

"Halimah (penyewa), saya tak tahu nak cakap semua teruk. Saya tahu kamu makan macam mana tapi memang kotorlah semua.

"Saya memang nak kena buang semua barang," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 1:05 PM