SHIERA hanya mahu berdepan dengan mereka sahaja.
SHIERA hanya mahu berdepan dengan mereka sahaja.
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON dan pelawak, Sharifah Shahira atau Shiera tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap netizen yang memuat naik mesej berbaur hinaan dan fitnah di laman sosialnya seperti mana dilakukan beberapa rakan artis sebelum ini.

Sharifah Shahira atau Shiera yang juga penyampai radio Suria FM berkata, dia hanya mahu berdepan dengan mereka yang menghina dan memfitnah dirinya serta ingin bertanya mengapa mereka berbuat demikian.

Komen dan mesej berunsur penghinaan dan fitnah yang dilakukan beberapa netizen itu turut dikongsi Shiera di laman sosial miliknya sebelum ini.

Shiera ketika dihubungi berkata, ada antara mesej yang dimuat naik netizen tidak bertanggungjawab itu berlaku sebelum beberapa isu membabitkan artis antaranya Jasmin Hamid.

“Ada antara mereka yang melakukan perkara itu saya dapat kesan, cuma saya tidak hebahkan. Apabila dapat berdepan, saya cuba mengajar mereka apa yang dilakukan adalah tidak baik kerana mereka tidak pernah mengenali saya.

“Mengapa mereka harus menuduh dan terus memuat naiknya di Twitter, Instagram dan sebagainya,” katanya.

Ketika berdepan golongan terbabit, Shiera berkata, dia tidak menafikan ada antara mereka bersikap kurang ajar walaupun dia cuba berdiplomasi.

ANTARA mesej netizen diruangan Instagram Shiera.
ANTARA mesej netizen diruangan Instagram Shiera.

“Namun, saya tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang. Pada saya ia hanyalah perkara kecil, kecuali jika perkara itu memang bukan saya, tetapi dikaitkan seperti gambar bogel yang disebarkan.

Shiera berkata, dia memuat naik komen ditinggalkan netizen tidak bertanggungjawab di laman sosialnya dengan harapan akan ada pihak membantu mencari mereka.

“Memang kadang-kadang ada yang bantu dapatkan mereka. Saya nak jumpa, nak tahu siapa dia, apa latar belakangnya dan saya juga mahu bertanya mengapa dia beriya-iya nak mengaibkan saya.

“Namun, jika ketika berdepan dengan orang yang menghina dan memfitnah itu dia bersikap kurang ajar, maknanya kita sudah tahu dia memang sengaja mahu menyakitkan hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 5:41 PM