Nota yang ditinggalkan penyewa dan keadaan bilik air di rumah Muhammad Hariri di Seksyen 7 Shah Alam. Foto Ihsan Muhammad Hariri
Nota yang ditinggalkan penyewa dan keadaan bilik air di rumah Muhammad Hariri di Seksyen 7 Shah Alam. Foto Ihsan Muhammad Hariri
Redzuan Muharam


“SAYA kecewa dan tidak sangka mereka tergamak meninggalkan rumah dalam keadaan seperti itu,” kata Muhammad Hariri Mohamad Nasir, 27.

Dia memberi reaksi sedemikian mengenai tindakan penyewa tidak bertangggungjawab yang meninggalkan rumahnya dalam keadaan kotor dan tidak terurus selepas berpindah keluar pada 15 Ogos lalu.

Muhammad Hariri meluahkan kekesalan menerusi hantaran gambar dan video di akaun Facebook miliknya pada 23 Ogos lalu sebelum perkongsian itu tular hingga mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Menceritakan perkara itu, Muhammad Hariri berkata, rumahnya yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam itu disewakan kepada enam penuntut sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) pada Oktober tahun lalu.

“Mengikut perjanjian asal, mereka (penyewa) boleh menyewa di situ sehingga akhir Ogos ini tetapi menghantar notis Jun lalu kerana kesemua penyewa lelaki terbabit mahu keluar lebih awal daripada tarikh sepatutnya.

“Selepas perbincangan dilakukan, wakil penyewa bersetuju untuk menyerahkan sendiri kunci rumah kepada saya pada Jumaat lalu tetapi pertemuan itu dibatalkan pada saat akhir dengan alasan mereka sudah meletakkannya (kunci) dalam peti surat.

“Selesai solat Jumaat, saya terus ke rumah untuk mengambil kunci dan alangkah terkejutnya saya apabila terhidu bau tidak menyenangkan yang datangnya daripada najis kucing di atas tilam.

“Selain itu, terdapat longgokan plastik dipenuhi sampah sudah berulat serta keadaan lantai ruang tamu dan bilik air yang amat kotor ,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Longgokan plastik sampah yang ditinggalkan penyewa rumah Muhammaf Hariri di Seksyen 7 Shah Alam hingga sudah berulat. Foto Ihsan Muhammad Hariri
Longgokan plastik sampah yang ditinggalkan penyewa rumah Muhammaf Hariri di Seksyen 7 Shah Alam hingga sudah berulat. Foto Ihsan Muhammad Hariri

Menurut Muhammad Hariri, penyewa berkenaan turut meninggalkan tunggakan bil elektrik dan lebihan makanan dengan sekeping nota bertulis ‘Meggi, biskut dan sardin ini masih elok untuk dimakan. Kami dari penduduk lama beri pada anda’.

Katanya, dia cuba menghubungi penyewa berkenaan tetapi panggilannya tidak diedahkan sebelum nombornya disekat termasuk di aplikasi Whatsapp.

“Saya pernah datang ke rumah berkenaan kira-kira lima kali sepanjang mereka menyewa di situ dengan tujuan untuk melihat kerosakan yang ada.

“Kali terakhir pada Jun lalu dan ketika itu, keadaannya tidak teruk seperti yang dilihat itu.

“Cuma, saya perasan ada dua ekor kucing di dalam rumah berkenaan sedangkan mereka dilarang untuk memelihara haiwan di kediaman terbabit.

“Saya cuba untuk bertolak ansur tetapi ini balasannya sedangkan rumah itu diserahkan dalam keadaan bersih serta lengkap dengan kemudahan asas seperti katil, tilam, almari, dapur, tong gas dan meja makan,” katanya.

Demi menuntut haknya, Muhammad Hariri terpaksa menghubungi kakak kepada seorang penyewa yang sanggup membayar kos pembersihan rumah .

Menurutnya, wanita itu juga bersetuju untuk tidak menuntut wang deposit daripadanya yang diambil sebagai ganti rugi kerana melanggar perjanjian.

Katanyai, apa yang berlaku itu memberi pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa depan.

“Alhamdulillah, saya bakal mendapat penyewa baru pada hujung minggu ini dan tidak serik untuk menyewakan rumah kerana percaya masalah itu berlaku disebabkan sikap individu.

“Jadi, tidak adil jika saya bersikap paranoid terhadap penuntut universiti atau lelaki yang mahu menyewa disebabkan masalah ini, cuma akan lebih berhati-hati dengan mengetatkan syarat perjanjian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 8:20 PM