SYASYA bersama neneknya yang juga pelakon veteren, Rozie Othman pada majlis resepsi malam tadi.. FOTO Aziah AzmSee
SYASYA bersama neneknya yang juga pelakon veteren, Rozie Othman pada majlis resepsi malam tadi.. FOTO Aziah AzmSee
Syafil Syazwan Jefri

Shah Alam: Bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal, 23, mendedahkan mengenai hubungannya dengan neneknya juga pelakon veteran, Rozie Othman sebagai satu hubungan yang tidak bermasalah. 

Pendedahan itu dikongsikan Syasya selepas Rozie sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mengenai kekecewaannya apabila cucunya itu menamatkan zaman bujang ketika zaman kegemilangannya dan majlis akad nikah berlangsung ketika Rozie menunaikan ibadah umrah di tanah suci. 

"Saya ada cakap dengan nenek dan bagi pembayang. Saya selalu simpan sendiri dan kalau nak dekat hari berkahwin, baru saya beritahu. 

"Saya ada beritahu nenek untuk doakan saya sementara dia sedang menunaikan umrah. Dia terkejut sebab bila dia dah balik, kami dah bernikah," katanya kepada Harian Metro. 

Tambah Syasya, tindakan dan kenyataan neneknya adalah sesuatu yang normal bagi seorang individu berstatus nenek dan dia serta suami, Nasrullah Mohd Sapie sudah bertemu dengan neneknya. 

"Nenek pun dah berumur. Jadi, normal untuk nenek-nenek dengar cerita dari orang dan buat kesimpulan. Kami dah jumpa dan jelaskan. Dia pun dah gembira jumpa Nasrullah," katanya. 

Sementara itu, Nasrullah, 23, turut berkongsi perkara sama selepas pertemuan dengan Rozie. 

"Selepas bernikah, kami ada jumpa nenek dan dia belanja taufufa. Mungkin dia pun lama tak ikuti perkembangan. Tapi, dia sangat okay," katanya. 

Di majlis resepsi yang berlangsung malam tadi, turut kelihatan kehadiran Rozie di samping keluarga serta lebih 1,000 tetamu jemputan yang hadir memeriahkan acara. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 11:17 AM