Bekas anggota Dolla, Noor Syasya Afiqah Shahrizal atau Syasya pada majlis resepsi di Shah Alam. Foto Aziah Azmee
Bekas anggota Dolla, Noor Syasya Afiqah Shahrizal atau Syasya pada majlis resepsi di Shah Alam. Foto Aziah Azmee

Kuala Lumpur: Penyanyi dan bekas anggota kumpulan Dolla, Noor Syasya Afiqah Shahrizal atau Syasya berkongsi perasaan sebak dan mengalir air mata selepas melihat video muzik (MV) lagu Here4U.

Apatah lagi lagu dengan lirik dihasilkan Tabby dan Putri Dahlia serta mendapat sentuhan komposer Hyuk Shin, Chris M. Yong dan Tabby sendiri itu ditujukan khas buat Syasya.

"Sebenarnya saya dengar lagu ini sebelum lagu ia release. Kami sepatutnya menyanyi bersama untuk lagu ini tetapi saya mengambil keputusan untuk keluar Dolla kan.

"Saya sangat gembira apabila lagu ini berjaya release. Dapat tengok muzik video istimewa lagu ini, menangis juga la dan sangat comel." kata Syasya ketika ditemubual penyampai radio Era serta dikongsikan menerusi Instagram stesen radio berkenaan.

Tambah Syasya, dia akan sentiasa mengikuti perkembangan dan menyokong Dolla.

"Untuk kakak-kakan Dolla yang disayangi. Terima kasih sangat untuk semuanya dari kita mula Dolla sampai sekarang.

"Terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan kepada saya. Layan saya macam adik bongsu yang korang sayang dan walaupun bukan lagi sebahagian daripada kumpulan ini. Saya akan tetap beri sokongan pada korang.

"Ayuh bawa Dolla ke peringkat antarabangsa, banggakan Malaysia. Tidak ketinggalan buat idolla." katanya.

Difahamkan Syasya dan suami (Nasrullah Mohd Sapie) menjadi tetamu jemputan untuk segmen 3 pagi Era, hari ini.

Ahad lalu, majlis resepsi pasangan itu diadakan di sebuah premis di Shah Alam dihadiri lebih 1,000 jemputan. Syasya mendapat tajaan bernilai lebih RM5 juta mengandungi barang kemas daripada Habib, Jakel dan lain-lain.

Sebelum ini, Syasya mengejutkan industri seni tanah air apabila membuat pengumuman untuk keluar daripada Dolla pada 8 April lalu dan pada 20 April, Syasya selamat bergelar isteri kepada Nasrullah.

Selain Syasya, Dolla yang ditubuhkan pada April 2019 disusuli kemunculan album pertama berjudul Dolla Make You Wanna dianggotai Angel, Sabronzo dan Tabby.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 5:45 PM