Syasya
Syasya
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Anggota Dolla iaitu Syasya menyifatkan video yang tular di media sosial yang mendakwa dia sedang mabuk di sebuah acara sebagai fitnah dan bertujuan menjatuhkan imejnya.

Syasya atau Noorsyasya Afiqah Sharizal, 22, meminta dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya itu disertakan dengan bukti kerana enggan mencemarkan nama baik Dolla.

"Tiada video pun yang memperlihatkan saya minum. Kalau betul ada bukti, saya akan jelaskan. Video itu dah lama, ia dirakam ketika saya menghadiri acara melibatkan artis luar negara.

"Memang ada dihidangkan alkohol namun saya tidak pegang atau minum. Jadi kenyataan yang kononnya mengatakan saya mabuk itu adalah satu fitnah," katanya secara ekslusif kepada Mstar.

Menerusi temubual yang sama, Syasya sebagai seorang selebriti menjelaskan dia sangat menitikberatkan mengenai tingkah laku supaya tidak menjejaskan nama baik sendiri serta kumpulan Dolla.

Bukan itu sahaja, namanya turut menjadi sebutan ramai apabila dilihat bersikap sambil lewa atau tidak profesional ketika muncul dalam sebuah temu bual bersama media.

Menurutnya suntingan video yang tular di media sosial itu menimbulkan salah faham dalam kalangan peminat sehingga ada yang menghentam tanpa mengetahui cerita sebenar.

Dalam masa sama dia juga memohon orang ramai agar tidak mudah membuat penilaian menerusi video yang tersebar di media sosial tanpa sebarang usul periksa.

"Orang-orang kenal rapat pasti tahu saya tidak akan melakukan perkara yang boleh memudaratkan populariti Dolla, nama baik agama dan juga keluarga. Saya bekerja mencari duit dan keluarga percayakan saya.

"Saya minta maaf jika yang tersebar sebelum ini membawa ajaran buruk kepada golongan remaja. Tidak semua perkara di internet boleh dipercayai. Perkara yang tersebar sebelum ini bukanlah diri saya yang sebenar," katanya.

Terdahulu, pihak pengurusan memohon agar kontroversi itu tidak ditanyakan kepada Syasya bagi memberi ruang kepada pelancaran single Damello.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 4:29 PM