Dolla ketika Rumah Terbuka Aidilfitri Universal Music Malaysia bersama Samsung di Hotel Le Meridien Petaling Jaya. FOTO AZIAH AZMEE
Dolla ketika Rumah Terbuka Aidilfitri Universal Music Malaysia bersama Samsung di Hotel Le Meridien Petaling Jaya. FOTO AZIAH AZMEE
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: Walaupun sedih dengan pengunduran Syasya, anggota Dolla menghormati keputusannya dan gembira dengan keputusan Syasya untuk berkahwin.

Dolla kini tinggal bertiga yang dianggotai Tabby, Sabronzo dan Angel.

Tabby berkata, sebagai sebuah kumpulan, mereka menyokong keputusan Syasya walaupun berasa sedih dengan pengundurannya itu.

"Syasya memang ada beritahu kami keputusannya untuk berkahwin dan berundur dari Dolla sebelum ini.

"Walaupun sedih, tetapi kami masih bercakap dan berkawan seperti biasa. Kami juga menyokong keputusannya berkahwin demi kebahagiaannya," katanya.

Tabby berkata, mereka juga tidak hadir ke majlis pernikahan Syasya baru-baru ini kerana ia diadakan secara tertutup untuk keluarga terdekat saja.

"Majlis pernikahan Syasya sangat 'private' dan hanya untuk ahli keluarga terdekat. Pada masa sama, Sabronzo juga tidak ada di sini ketika itu," katanya.

Ditanya mengenai pengunduran Syasya ketika nama Dolla berada di kemuncak, Sabronzo berkata, setiap anggota kumpulan itu mempunyai perancangan dalam kerjaya masing-masing.

"Kami juga ada perancangan masing masing untuk karier. Siapa kami nak beritahu Syasya keputusannya untuk berkahwin dan undur diri dari Dolla tidak sesuai ketika ini?

"Sebagai sebuah kumpulan, kami sentiasa hormati dan menyokong keputusannya itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, walaupun sudah berundur dari Dolla, Syasya masih belum tamat kontrak dengan Universal Music.

"Saya tidak boleh beritahu berapa lama lagi kontrak Syasya bersama Universal, tapi dia tidak terikat untuk buat lagu dan sebagainya lagi.

"Setiap anggota Dolla menandatangani kontrak dengan pihak kami secara individu. Buat masa ini, Syasya buat keputusan untuk berehat dulu kerana berkahwin dan kami masih belum buat perbincangan apa yang akan dilakukannya selepas keluar dari Dolla," katanya.

Ditanya anggota baru untuk menggantikan tempat Syasya dalam Dolla pula, Kim berkata, belum ada perbincangan ke arah itu lagi tahun ini.

"Pada tahun ini, kumpulan Dolla yang sudah tinggal bertiga akan terus komited dan bekerja keras untuk mengukuhkan jenama mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 2:38 PM