Keadaan Fredo ketika jalani rawatan di hospital.
Keadaan Fredo ketika jalani rawatan di hospital.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi popular era 1970-an, Fredo Flybaits selamat menjalani pembedahan jantung (Aorta) di sebuah hospital di Singapura, Jumaat lalu.

Isterinya, Suzlynna Mustapha berkata, pembedahan berjalan lancar dan keadaannya juga stabil berdepan dengan pembedahan terbabit.

"Alhamdulillah... Allah berikan kekuatan kepada Abang Fredo untuk pembedahan ini. Keadaannya stabil tetapi kritikal untuk 48 jam berikutnya.

"Doktor menasihatkan saya supaya tidak menerima pelawat selama 48 jam seterusnya bagi mengurangkan risiko komplikasi.

"Sabtu lalu Abang dah mula sedar dan hari ini dah boleh makan, syukur alhamdulillah," katanya kepada Harian Metro.

Suzlynna bagaimanapun berkata, Fredo masih perlu menjalani penjagaan rapi (High Dependency Care) di wad khas buat masa ini.

"Insya Allah kalau kesihatannya bertambah baik, Doktor akan tukarkan ke wad biasa.

"Terima kasih di atas semua keprihatinan dan kasih sayang pada Abang Fredo. Diharapkan agar semua pihak terus mendoakan kesihatannya agar pulih seperti dulu," katanya.

Terdahulu, Suzlynna memaklumkan Fredo bukan berdepan masalah blockage (salurah darah tersumbat) biasa, tetapi saluran artileri yang paling besar membengkak seperti belon.

Ia boleh meletup sekiranya Fredo menyanyi nada tinggi atau membuat kerja berat seperti banyak berjalan sehingga tidak cukup nafas.

Masalah ini turut membuatkan Fredo yang dikenali sebagai penyanyi versatil kehilangan pendapatan akibat tidak boleh menyanyi.

Suzlynna berkata, sebelum ini suaminya kehilangan pendapatan semasa Covid-19 dan sekarang berdepan ujian ini pula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 3:35 PM