REBEL : Berontak Untuk Berotak serlah sisi berbeza MK.
REBEL : Berontak Untuk Berotak serlah sisi berbeza MK.
Ramlah Zainal


MELAKONKAN watak antagonis atau jahat sering mencetuskan kebencian di kalangan penonton sekali gus mampu membuktikan impak dipersembahkan oleh seseorang pelakon itu.

Bagi penyanyi dan pelakon MK K-Clique, dia sememangnya mengidamkan watak antagonis dalam filem genre aksi demi mencabar kemampuannya dalam bidang lakonan.

Dia yang sebelum ini sinonim dengan watak hero romantik dalam drama cinta, membawakan watak Bono dalam filem Rebel : Berontak Untuk Berotak juga filem pertama arahan Datuk Awie.

Filem Rebel: Berontak Untuk Berotak diterbitkan Wau Productions Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd menampilkan MK, Ben Amir, Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan Awie sendiri mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 2 Mei lalu.

"Bila ditawarkan watak Bono, saya sangat bersyukur kerana dapat bekerja dalam filem sulung, Datuk Awie dan mencabar diri melakonkan watak jahat dalam filem.

"Saya tidak takut dibenci penonton kerana melakonkan watak jahat kerana ia sekadar lakonan.

"Watak Bono menjadi penjahat kerana dia tinggal di kawasan setinggan dan terdedah dengan persekitaran yang kurang baik," kata MK.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Awie, kata MK, pada mulanya, dia berasa takut dan gementar untuk bekerjasama dengan vokalis kumpulan rock legenda Wings itu.

"Sebagai pelakon baharu, saya tidak tahu karakter Awie di lokasi. Namun, saya tidak sangka, Awie seorang yang sangat baik, berhemah tinggi dan sangat profesional ketika bekerja.

"Kalau kita buat sesuatu yang tak kena pun dia akan datang dan tegur dengan cara yang lembut dan sangat berhemah.

"Kalau penggambaran bermula lambat, Awie sendiri akan datang berjumpa pelakon dan kru untuk mohon maaf dan pastikan keadaan semua orang okay di lokasi," katanya.

Mengenai cabaran ketika penggambaran pula, kata MK, ia membabitkan babak pergaduhan dalam filem itu.

"Saya banyak babak dengan watak utama Luka (lakonan Ben Ali) dalam filem 'action pack' ini.

"Paling mencabar untuk buat babak pergaduhan yang berlangsung dari jam 8 malam hingga 6 pagi.

"Saya tidak mengalami kecederaan kerana produksi sangat menjaga aspek keselamatan dengan menyediakan pelakon lagak ngeri untuk babak yang bahaya.

"Sebelum penggambaran, kami juga giat berlatih dengan bantuan koreografer disediakan produksi di lokasi. Setakat sakit-sakit badan tu perkara biasalah dalam filem aksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 6:45 AM