SHUKRI Yahaya. FOTO Rohanis Shukri
SHUKRI Yahaya. FOTO Rohanis Shukri
Ramlah Zainal

Sering disogok dengan watak hero baik dan romantik, sampai masanya pelakon popular Shukri Yahaya membuktikan dirinya mampu melakonkan pelbagai karakter, sekali gus mencapai misi menjadi aktor versatil di persada hiburan tanah air.

Menurut Shukri, 29, dia tidak selesa apabila sering membawa watak hero kacak dan baik sedangkan dia mampu pergi lebih jauh sekiranya diberi peluang.

“Saya mahu mencuba pelbagai watak yang mampu mencabar lakonan, sekali gus membuktikan diri ini bukan sekadar bersandarkan paras rupa semata-mata tetapi lebih daripada itu.

“Misi saya mahu menjadi pelakon serius dan berjaya seperti idola saya,Datuk Rosyam Noor dan Shaheizy Sam,” katanya.

Mengenai wataknya dalam drama Andainya Takdir, Shukri yang baru saja mengungguli kategori Aktor Antagonis Pilihan pada anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 mengakui itu antara karakter paling mencabar kemampuannya.

“Awal pembabitan dulu, saya sering ditawarkan watak jahat termasuk dalam drama bersiri Juvana.

“Namun, watak antagonis yang saya bawakan dalam drama Andainya Takdir berbeza kerana ia bukan kisah adaptasi novel dan tidak pernah dilakonkan sebelum ini.

“Ramai penonton beri maklum balas memberangsangkan. Kata mereka, watak itu meninggalkan kesan di hati mereka.

“Cerita seperti ini adalah realiti dalam masyarakat, tetapi tidak diketengahkan sebelum ini,” katanya.

Shukri juga tidak bimbang dirinya dibenci penonton gara-gara watak jahat lakonannya dalam drama itu.

“Sebagai pelakon, saya mahu peminat nampak sisi lain saya dalam lakonan.

“Sebab itu saya terima watak ini dan gembira apabila ia menjadi,” katanya.

Berpuasa di lokasi

Ramadan ini, Shukri terikat dengan penggambaran Supertele terbaru berjudul Selirat untuk saluran TV9.

“Saya juga ditawarkan watak antagonis dalam cerita ini. Kali ini, saya melakonkan watak anak yang dibesarkan kumpulan gengster.

“Saya suka dengan watak ini dan berharap ia menjadi satu lagi pembuka jalan untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini,” katanya.

Mengulas mengenai penggambaran ketika berpuasa, Shukri tidak menafikan ia sangat mencabar.

“Bukan kerja mudah kerana kita berpuasa dan bekerja dalam cuaca panas.

“Mujur pihak produksi prihatin dengan membuat penggambaran babak ringan ketika Ramadan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 3:17 AM