Awie pada Majlis Tayangan Perdana Filem Rebel : Berontak Untuk Berotak di GSC Starling Mall. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Awie pada Majlis Tayangan Perdana Filem Rebel : Berontak Untuk Berotak di GSC Starling Mall. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Norhayati Nordin


Petaling Jaya : Datuk Awie, 56, menyifatkan filem pertama arahannya, Rebel: Berontak Untuk Berotak tidak berunsur negatif seperti didakwa, namun ada mesej perjuangan yang baik ingin disampaikan.

Awie berkata, filem aksi itu wajar ditonton terlebih dulu sebelum membuat pelbagai andaian kurang baik dan berunsur negatif hanya disebabkan trailer filem berkenaan.

"Tengoklah dulu apa yang diceritakan dan apa yang dipersembahkan. Apa yang kita perjuangkan dalam filem ini. Jadi, kalau kita tak tengok dan dengar komen orang dari luar saja, tak adil. Tengok dulu dan betulkan apa pemikiran negatif mereka.

"Buat apa kita cuba menegakkan benang yang basah. Kita tak nak sebenar, buat apa? Tapi, kita cubalah perbaiki supaya benda yang elok itu, kita lebih elokkan. Jangan kita rosakkan, sayanglah kalau kita tak jaga," katanya.

Menurut Awie, kisah perjuangan berkaitan kumpulan pertubuhan yang cuba diketengahkan itu sudah lama ada di dalam masyarakat, cuma tidak diketahui saja pergerakannya kerana sifat ingin mengambil tahu itu semakin kurang.

"Saya bercampur dengan semua golongan masyarakat. Saya bercampur semua, baik (orang) atas, baik yang di bawah, memang semua saya campur dan saya tahu pergerakan itu, saya tahu.

"Rasanya di sekeliling kita, di sebelah rumah pun dah ada ahli-ahli ini, cuma kita saja yang tak nak ambil tahu. Kalau kita ambil tahu sedikit, mungkin kita tahu benda ini yang sebenarnya lebih bagus daripada politik.

Mereka ini (kumpulan pertubuhan) lebih ada 'sense of family' (rasa kekeluargaan) dan patutnya tidak boleh jatuh-menjatuhkan di antara satu sama lain. Mereka ini sebenarnya lebih murni perjalanannya," katanya.

Terdahulu, Awie ditemui media ketika hadir pada majlis tayangan perdana filem Rebel: Berontak Untuk Berotak, di sini, malam semalam.

Mengulas kisah filem itu yang dikaitkan sebagai kisah benar membabitkan dirinya sendiri yang didakwa pernah berstatus 'abang long' dan 'ayahanda', Awie berkata, dia memang ayahanda kepada anak-anaknya.

"Saya memang ada 'title' (gelaran) ayahanda. Anak saya ada enam, nak masuk tujuh. Cuma, itu bukan masalahnya sebenarnya, masalah sekarang ini adalah benda itu berlaku.

"Ia (kumpulan pertubuhan) juga tiada sangkut-paut dengan kongsi gelap, perjuangan ini murni mengikut Rasulullah SAW sebagaimana diceritakan dalam al- Quran. Namun, apabila ada segelintir yang buat busuk, ini yang merosakkan perjalanan itu. Kalau dulu, sangat bagus," katanya.

Rebel: Berontak Untuk Berotak diterbitkan Wau Productions Sdn Bhd & Rumah Produksi Merah Sdn Bhd dengan kos pembikinan mencecah hampir RM1 juta.

Penggambaran dijalankan tahun lalu selama sebulan membabitkan lokasi sekitar Lembah Klang dan Sungai Buloh, Selangor.

Mengulas juga cabaran dihadapi sebagai pengarah, Awie berkata, antara cabarannya ialah kekangan masa dan apa yang diminta kadang-kadang tidak dapat disediakan oleh produksi kerana kesuntukan waktu dan bajet.

"Tapi, macam mana pun tugas pengarah ini nak kena selesaikan masalah yang ada dalam set.

Contoh, masalah pelakon kalau tak dapat buat macam ini, jadi saya kena cuba buat sampai dia nampak memang hero.

"Macam itu juga dengan heroin filem yang saya kena pastikan dia sama seperti macam mana kehendak cerita untuk watak itu dan ia teramatlah sangat mencabar kreativiti," katanya.

Rebel: Berontak Untuk Berotak mengisahkan perseteruan antara dua individu iaitu Luka (Ben Amir) dan Bono (MK K-Clique) walaupun mereka berada dalam pertubuhan yang sama.

Selain Ben Amir dan MK K-Clique, Awie turut berlakon selain Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan ramai lagi.

Ia akan ditayangkan pawagam di seluruh negara mulai 2 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 2:35 PM