Norhayati Nordin


Datuk Awie dan karakter Husin sudah 'bersatu' sejak 2007 dalam filem Zombi Kampung Pisang arahan Allahyarham Mamat Khalid. Justeru, siapa sangka Awie dan 'Husin' sudah melekat sebati selama 17 tahun.

Ditambah, kesinambungan watak Husin itu diteruskan Mamat untuk Awie dalam beberapa lagi filemnya iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah pada 2010, diikuti Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2013), Zombie Kilang Biskut (2014) dan Hantu Kak Limah (2018).

Namun, 'pemergian selamanya' pengarah berjiwa komedi itu ke pangkuan Ilahi pada 24 Oktober 2021, cukup membuat Awie berasa kehilangan. Malah, baginya 'tiada pengganti' dapat mencorakkan sifat lucu Husin sebagus Mamat.

Muncul melakonkan watak Pak Long Biring dalam filem Rebel: Berontak Untuk Berotak arahannya, karakter itu dilihat menampilkan semula sisi komedi Awie sebagai Husin yang sekali gus bakal mengubati kerinduan penonton.

Mengulasnya, Awie, 56, berkata, dia sedar tidak boleh lari daripada watak Husin itu, walaupun tidak memikirkannya ketika di set penggambaran kerana sudah lama juga tidak melakonkan watak kelakar.

"Dah muka itu, muka Husin! Maka, itu yang agaknya dah memang ada dalam jiwa saya, nak buat macam mana? Tak boleh nak lari dari karakter itu (Husin), walaupun saya tak terfikirkannya ketika berlakon.

"Lagi pula, sebenarnya dah lama juga saya tak berlakon watak kelakar. Apabila abang Mamat dah tak ada, saya anggap Husin pun dah tak ada," katanya yang sudah bekerjasama dengan anak Mamat iaitu Amen Khalid.

AWIE teruja mengarah filem Rebel: Berontak Untuk Berotak.
AWIE teruja mengarah filem Rebel: Berontak Untuk Berotak.

Penyanyi lagu Senja Nan Merah, Bara dan Di Penjara Janji ini berkata, beliau bekerja dengan Amen untuk watak Husin dalam filem Hantu Lompat Di Kampung Pisam arahan pemuda berkaliber itu.

Ujar Awie, bagaimanapun ada perbezaan ketara dapat dirasakannya antara sentuhan komedi arwah Mamat dan Amen walaupun mereka anak-beranak yang umpama, 'mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'.

"Baru-baru ini (sebelum hari raya Aidilfitri), saya ada buat (berlakon) juga dengan anak arwah abang Mamat iaitu Amen Khalid. Tapi, jujur saya akui, dah tak dapat rasa Husin seperti mana sentuhan asli Mamat Khalid.

"Walau pun cara arahan anaknya (Amen) itu okay dan didapati dia boleh jadi pengarah hebat seperti arwah bapanya nanti, tapi (Amen) masih perlu bekerja keras lagi untuk terus memperoleh peluang," katanya.

Bakal bapa kepada tujuh anak ini berkata, apapun peluang memang wajar diberikan kepada Amen untuk dia terus menghasilkan apa yang sudah dilakukan arwah bapanya yang disifatkan kreatif umpama pencipta kandungan 'komik'.

"Pada pandangan saya, abang Mamat itu umpama 'komik'. Dia seorang yang Allah kurniakan ada 'nilai komikal' yang mampu buat orang terhibur dengan naskhah dihasilkannya. Jadi, anak dia kena ikut macam itu,

"Kalau tak ada (nilai komikal), susahlah. Bakat mengarah itu, mungkin boleh diwarisi bagi meneruskan legasi ditinggalkan oleh abang Mamat, cuma 'anugerah' jiwa komik itu adalah semula jadi," katanya.

Ditanya juga siapakah pengarah 'pelapis' genre komedi seperti arwah Mamat yang dilihatnya ada nilai komikal itu, Awie berkata, Yeop Hitler Zami sedikit sebanyak boleh mengarahkan genre komedi dengan sebaik mungkin.

Rebel: Berontak Untuk Berotak

Bakat seni dimiliki Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman ternyata pelbagai. Selain menyanyi, berlakon dan mengacara, beliau juga sudah bergelar penerbit produksi dan kini bergelar pengarah filem pula.

Menerusi syarikatnya, Rumah Produksi Merah Sdn Bhd yang bekerjasama dengan Wau Productions Sdn Bhd, filem Rebel: Berontak Untuk Berotak akan menemui penonton di pawagam tanah air mulai hari ini.

Awie berkata, dia teruja mempertaruhkan filem itu untuk tontonan masyarakat kerana beliau sangat meminati genre aksi selain, ada mesej perjuangan yang baik ingin disampaikan kepada penonton.

"Saya mohon tengoklah dulu apa yang diceritakan (narrator) dan apa dipersembahkan dalam filem ini, termasuk apa yang kita perjuangkan juga. Jadi, kalau tak tengok dan hanya dengar komen orang dari luar saja, itu tak 'fair' (adil).

"Namun, yang pasti kita tidak cuba menegakkan benang yang basah. Tapi, kita cubalah perbaiki apa yang sepatutnya dalam perjuangan itu supaya benda yang elok akan lebih dielokkan. Jangan kita yang merosakkannya lagi," katanya.

Filem yang menelan kos pembikinan hampir RM1 juta dengan kisah perjuangan ahli kumpulan pertubuhan ini membariskan pelakon seperti Ben Amir, MK K-Clique, Awie, Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 6:01 AM