Ajai buat julung kali hasilkan lagu OST yang dinyanyikan Awie
Ajai buat julung kali hasilkan lagu OST yang dinyanyikan Awie
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Tak sangka impian untuk bekerjasama dengan Datuk Awie akhirnya tercapai," kata Mohd Faizal Maas, 50, atau Ajai.

Penyanyi dan komposer terkenal itu mengulas mengenai kerjasama dengan idolanya Awie yang juga vokalis kumpulan rock legenda Wings menerusi lagu runut bunyi (OST) filem Rebel: Berontak Untuk Berotak berjudul Cerita Rindu.

Ajai yang juga anggota band Exists itu, berasa sangat teruja apabila buat julung kali diberi kepercayaan menerbitkan lagu OST yang didendangkan Awie.

"Saya dibesarkan dengan lagu dendangan Awie sejak zaman bersama Kumpulan Exists lagi.

"Saya pernah bertemu dengan Awie ketika masih di bangku sekolah dan menyimpan impian agar kami dapat bekerjasama suatu masa nanti," katanya.

Mengenai lagu Cerita Rindu, kata Ajai, ia memiliki kelainan daripada lagu yang pernah dihasilkan sebelum ini.

"Sebagai mana yang kita tahu, lagu Awie cukup sinonim dengan sentuhan Datuk M Nasir dan JS Kevin sejak dulu.

"Kali ini, ia berlainan sikit dengan sentuhan daripada saya dari segi 'phrasing' pernafasan, tapi masih lagi meletakkan cita rasa Awie," katanya.

Gandingan Ajai dan Awie menerusi lagu Cerita Rindu
Gandingan Ajai dan Awie menerusi lagu Cerita Rindu

Ditanya dari segi suara, kata Ajai, vokal Awie masih kekal pada lagu Cerita Rindu dan perubahan hanya pada sentuhannya selaku penerbit.

"Setiap penerbit ada cara berbeza untuk menerbitkan lagu setiap artis kerana setiap lagu mempunyai pernafasannya tersendiri.

"Apa yang penting, lagu ini tidak 'stereotype' dan sama seperti yang pernah dihasilkan penerbit lain sebelum ini," kata Ajai yang menjejakkan kaki dalam industri muzik sejak berusia 14 tahun.

Berkongsi proses rakaman yang berlangsung di Studio Wake The Baby kira-kira tiga bulan lalu, Ajai berkata, proses perbincangan untuk menghasilkan lagu ini sahaja berlangsung selama setahun.

"Saya sudah dapat sinopsis lagu lebih awal, tapi proses rakaman mengambil masa kerana kesibukan masing-masing. Ini kerana Awie juga mengarahkan filem ini," katanya.

Tambah Ajai, dia juga tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Awie sepanjang proses rakaman lagu kerana masing-masing berpengalaman luas dalam bidang muzik.

Sementara itu, filem Rebel: Berontak Untuk Berotak diterbitkan Wau Productions Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd adalah filem pertama arahan Awie menampilkan pelakon terkenal tanah air antaranya Ben Amir, MK K-Clique dan ramai lagi.

Ia menemui penonton pawagam di seluruh negara bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 4:44 PM