Kumpulan Inteam ketika Majlis Apresiasi Media Inteam Records di D'Intan Crystal, Grand Hall 8trium Tower, Bandar Sri Damansara. FOTO FARHAN RAZAK
Kumpulan Inteam ketika Majlis Apresiasi Media Inteam Records di D'Intan Crystal, Grand Hall 8trium Tower, Bandar Sri Damansara. FOTO FARHAN RAZAK
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya : Muzik video lagu baharu Inteam, Harum Setangkai Doa menyentuh emosi apabila menampilkan kompilasi gambar-gambar dan video kenangan bersama bekas anggota kumpulan itu, Allahyarham Suhaimi Saad yang meninggal dunia pada 15 November tahun lalu. 

Anggota Inteam, Hisyam Ahmad berkata, proses penghasilan muzik video lagu yang dilancarkan sebulan lalu itu adalah saat paling pilu dan beremosi buatnya kerana tidak ada banyak gambar kenangan bersama Suhaimi. 

"Ketika proses penghasilan muzik video Harum Setangkai Doa, itu saat paling pilu sebenarnya buat saya kerana tidak ada banyak gambar kenangan bersama arwah Suhaimi terutama di penghujung hayatnya. 

"Setiap kali saya tonton semula muzik video lagu ini, memang ada rasa kecewa sebab tidak dapat bersama dengan arwah Suhaimi ketika masih hidup.

"Boleh saya katakan bahawa lagu dan muzik video ini adalah yang paling menyentuh hati kerana hanya ada sedikit kenangan bersama arwah. 

"Kami cari semula gambar-gambar lama untuk kongsikan kenangan bersama arwah serta cuba sampaikan mesej mengenai rasa kehilangan seorang sahabat sepertinya" katanya kepada Harian Metro. 

Seorang lagi anggota Inteam, Abdul Rahim Osman berkata, lagu ini juga menjadi perkongsian mengenai persahabatan mereka walaupun Suhaimi tidak lagi bersama Inteam sejak 2005. 

"Kami ingin tunjukkan secara hitam putih, bagaimana kami berpisah pada 2005. Dalam video muzik ini, anda akan dapat lihat gambar-gambar dan hubungan baik kami walaupun selepas perpecahan itu. 

"Alhamdulillah, kami diizinkan Allah untuk berjumpa dan menziarahinya ketika di hujung hayat arwah. Kami juga ada keluarkan karyanya yang berbentuk zikir dan itu adalah antara usaha kami untuk meneruskan legasinya," katanya. 

Bagi Hazamin Harun pula, dia sebagai sahabat bersyukur kerana pemergian Suhaimi membuka banyak cerita-cerita kebaikannya ketika masih hidup. 

"Kali terakhir kami menziarahi arwah Suhaimi, dia memang dah sakit teruk. Waktu itu, dia cakap 'kosong-kosong', maksudnya kami saling bermaaf-maafan. Biasalah, dalam persahabatan tentu ada perselisihan faham. 

"Yang paling kami bersyukur adalah pemergiannya membuka banyak cerita-cerita baik daripada orang ramai mengenai diri arwah," katanya. 

Terdahulu, Inteam ditemui pada Majlis Apresiasi Media Inteam Records yang berlangsung semalam dan turut mengumumkan kolaborasi terbaharu mereka dengan Khai Bahar bagi merakamkan semula lagu Rabiatul Adawiyah 2024. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 3:51 PM