FAKHRUL (kiri) dan Bazli (depan) bersama Razin (dua dari kiri), Suhaimi (dua dari kanan) serta Hazamin (kanan) bergabung dalam Kita Da’i.
FAKHRUL (kiri) dan Bazli (depan) bersama Razin (dua dari kiri), Suhaimi (dua dari kanan) serta Hazamin (kanan) bergabung dalam Kita Da’i.
Ridzuan Abdul Rahman


Genre nasyid tempatan pernah dimeriahkan dengan gabungan kumpulan nasyid menerusi beberapa lagu antaranya Ya Nabi Salamun Alaika yang menampilkan Hijjaz, Raihan, Yassin dan Brothers.

Trend itu kini diteruskan kembali kumpulan UNIC yang dianggotai Bazli Hazwan Che Osman dan Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin apabila menghasilkan single berjudul Kita Da’i.

Lagu ciptaan Bazli dan lirik Ahmad Fedtri Yahya ini mengimbau kembali kenangan mereka yang pernah bernaung di bawah syarikat rakaman Hijjaz Record suatu ketika dulu apabila menampilkan Hazamin Inteam, Hafiz Hamidun, Suhaimi Saad dan Razin Mestica.

Fakhrul berkata, lagu ini dihasilkan sempena menyambut ketibaan Ramadan serta meraikan Aidilfitri.

“Asalnya lagu ini sudah dirakam kami berdua. Namun selepas memikirkan lirik tulisan Fedtri ini besar maknanya, kami perlu mencari rakan duet yang sesuai.

“Apatah lagi lagu ini dihasilkan sempena ketibaan Ramadan dan Aidilfitri. Akhirnya kami menghubungi rakan dan mereka bersetuju.

“Secara tak langsung, ia mengimbas nostalgia kami ketika berada di bawah satu bumbung,” katanya.

Bazli berkata, ketika bernaung di bawah Hijjaz Records mereka pernah bergabung merakamkan lagu berjudul Kerana Cinta daripada album Nur Syawal.

“Kami sebenarnya ajak Munif untuk turut serta tetapi dia tidak dapat turut serta kerana jadualnya padat.

“Rakaman lagu ini dibuat sebulan sebelum Ramadan. Sebaik habis rakaman suara, kami terus membuat rakaman video muzik pula.

“Ia sudah pun dimuat naik dalam YouTube dan kini ditonton lebih 30,000 peminat,” katanya.

Menurut Fakhrul, Kita Da’i adalah kempen yang mengajak masyarakat menyuburkan dakwah sesama ummah.

“Kita Da’i bermaksud semua orang adalah individu yang berhak menyebarkan kebaikan.

“Dakwah boleh disebarkan menerusi pelbagai medium dan di mana-mana saja asalkan kita nak melakukannya. Kesedaran ini perlu ada pada setiap orang,” katanya.

Menariknya lagu yang dijual menerusi medium terkini iaitu Spotify, I-tunes, KKbox dan Deezer ini turut ditampilkan dalam tujuh versi.

“Versi antaranya ada mood ceria dan sepi. Kami buat begini sebagai tarikan untuk pendengar kerana percaya setiap orang ada cita rasa sendiri,” kata Bazli.

Menurutnya lagi, dalam era situasi pasaran yang semakin mencabar, UNIC sentiasa mencari idea baru dan segar untuk terus mengekalkan nama mereka di persada seni tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 5:01 AM