KEMBALI menunjukkan taring bawa watak berat dalam drama selepas sedekad berehat.
KEMBALI menunjukkan taring bawa watak berat dalam drama selepas sedekad berehat.
Syafil Syazwan Jefri


Nama Datin Seri Umie Aida sentiasa diingati sebagai pelakon watak berat untuk pelbagai karya, baik drama televisyen mahupun di layar lebar.

Kini, selepas sedekad tidak membintangi drama yang memerlukannya menyalurkan tenaga dan emosi untuk watak berat, Umie kembali menunjukkan taringnya yang masih berbisa.

"Kali terakhir berlakon untuk watak berat, memang dah lama. Rasanya dah 10 tahun. Sebabnya, saya sangat teliti. Saya tak mahu membuang masa saya untuk masuk set sendirian tanpa orang lain turut 'memberi' sama.

"Saya pula terpaksa uruskan emosi dan sebagainya. Saya tak mahu sebab ia proses memenatkan. Jadi, saya perlu tahu siapa gandingan saya. Baru saya akan berseronok sebab saling bermain emosi. Berbaloi untuk saya penat dan tertekan itu.

"Sejujurnya ada rasa rindu untuk bermain emosi itu. Lakonan untuk drama bersiri lain memang ada, tapi genrenya komedi yang mana, lebih ringan. Rindu juga untuk 'korek' balik emosi itu," katanya.

Berkongsi pengalamannya sepanjang menjalani karier sebagai pelakon, Umie menegaskan mengenai disiplin dan komitmen yang menurutnya perkara paling utama.

"Saya pernah lalui situasi di mana artis baharu tak memberi. Tapi, kita faham, kita perlu melalui sesuatu untuk mencapai sesuatu kefahaman. Tapi, kalau kamu disiplin untuk belajar, itu bagus.

"Kalau tidak ada komitmen untuk belajar, rasa kamu dah hebat, itu yang kita marah. Kamu yang baru, perlu belajar. Tapi, bukan semua yang baharu terus kena berada di atas.

"Kita perlu belajar, rajin bertanya, hormat orang dan jangan rasa popular sampai buat ala kadar. Jangan rosakkan industri. Kalau nak 'terjun' dalam industri, buat secara serius," katanya.

Umie juga menyebut nama pelakon, Nabila Huda yang patut dijadikan contoh.

"Ramai yang bertanya dan minta nasihat. Ada beberapa artis, kalau karakter berat, mereka minta pendapat saya. Antaranya, Nabila sebelum dia berada di tahap sekarang. Dia sangat rajin bertanya," katanya.

Terbaharu, Umie kini membintangi drama bersiri Terlanjur Cinta arahan pengarah Izuan Mokhtar yang ditayangkan di platform penstriman digital, Viu.

"Watak Mariam adalah ibu kepada tiga anak yang mana, tidak mudah untuk dia menjaga mereka. Seorang bermasalah dengan dadah. Jadi, peranan seorang ibu itu tak pernah berputus asa dan tetap akan berkorban apa sahaja.

"Dia percaya ada sinar baharu untuk anaknya. Berkali-kali pun, dia tetap meyakinkan diri dia. Sinar itu perlu ada pengorbanan dan Aqish yang berkorban sesuatu untuk masalah keluarga ini. Kemudian, muncul pelbagai masalah lain dalam jalan cerita karya ini," katanya.

Berkongsi mengenai proses penggambaran naskhah dan watak berat itu, Umie menggambarkannya sebagai satu proses mudah.

"Memang senang. Saya pun kalau dahulu sering bawa watak berat. Tapi, mencabar sebab gandingan saya tidak begitu. Tapi, di sini semuanya sudah bersiap sedia. Kami berlakon seperti bergilir melontar bola.

"Walaupun babak itu perlukan emosi berat, menangis atau apa, kami akan saling memberi dan menerima. Ia permainan yang cantik di samping komitmen artis yang bagus.

"Komitmen bagus tak semestinya lakonan, tapi juga disiplin, pengurusan waktu yang bagus, tak ada masalah untuk hafal skrip. Semuanya lengkap. Itu sebab saya katakan ia proses yang berat, tapi senang.

"Viu melahirkan satu naskhah baharu untuk Ramadan. Pastinya Viu mahukan sesuatu yang bagus. Kerana itu saya terima tawaran ini," katanya.

Selain Umie, drama Terlanjur Cinta turut dibintangi Puteri Balqis, Syafiq Kyle, Syafie Naswip, Syafi Tee dan Taqim Zaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 6:25 AM