TRISHA jadikan ibunya sebagai subjek untuk jayakan watak Sarah Adina Kamal
TRISHA jadikan ibunya sebagai subjek untuk jayakan watak Sarah Adina Kamal
Syafil Syazwan Jefri


BAGI peminat drama dan penonton setia drama bersiri Menanti Senja yang ditayangkan di slot Samarinda TV3, tentunya tidak asing dengan watak Sarah Adina Kamal.

Menggalas tugas dan tanggungjawab untuk menjayakan watak itu, Trisha Ooi berkongsi pengalamannya mencabar diri membawakan watak berat itu.

"Saya bersyukur dan dapat pelbagai pengalaman yang positif daripada drama ini. Ini adalah naskhah yang sangat bagus.

"Saya juga tak jangka penonton akan menyambut baik kehadiran saya sebagai pelakon. Saya bersyukur dan rasa sangat gembira.

"Sebelum ini, saya pernah berlakon watak berat juga. Tapi, kali ini bukan saja watak yang saya lakonkan iaitu Sarah Adina Kamal itu berat, tetapi juga jalan cerita drama ini," katanya.

Berkongsi mengenai cabaran utamanya dalam menjayakan watak itu, Trisha berkata, paling mencabar adalah untuk mewujudkan perwatakan wanita yang lebih berusia daripada usia sebenarnya.

"Cabaran utamanya bagaimana saya nak bawakan watak sebagai wanita dalam lingkungan usia 32 tahun yang sudah berkahwin dan memiliki anak sedangkan usia saya baru 24 tahun. Jadi, ia sedikit-sebanyak memberi cabaran kepada saya," katanya.

BERSYUKUR dikelilingi pelakon senior yang sentiasa berkongsi ilmu.
BERSYUKUR dikelilingi pelakon senior yang sentiasa berkongsi ilmu.

Menurut Trisha, dia memegang kata-katanya gurunya iaitu cara terbaik untuk belajar adalah dengan melihat orang-orang di sekeliling kita.

"Jadi, saya perhatikan persekitaran saya dan menjadikan ibu saya sebagai subjek terdekat. Di samping itu, saya juga turut menimba ilmu lakonan daripada guru saya, Ellie Suriaty," katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon senior dan berpengalaman, Trisha mengambil langkah tertentu untuk mengelakkan rasa gemuruh.

"Setiap kali ditawarkan untuk berlakon, saya sentiasa ingatkan diri sendiri supaya tak melihat siapa pelakon yang akan bergandingan dengan saya. Ini untuk saya elakkan rasa gemuruh.

"Lagi satu, saya tak mahu terlalu terbawa-bawa sangat dengan perasaan gemuruh itu. Tapi, dah ada kemajuan juga dari segi perwatakan saya yang mana, sebelum ini seorang 'introvert'. Sekarang, saya lebih mudah mesra.

"Saya sedar, siapa saya di dalam industri lakonan. Jadi, sebagai pendatang baru, saya kena mula menyapa. Itu cara saya untuk mendekati pelakon-pelakon lain di lokasi," katanya.

Trisha juga bersyukur kerana pelakon-pelakon senior di sekelilingnya tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

"Kalau dilihat senarai pelakon dalam drama ini, memang ramai pelakon senior yang hebat-hebat. Saya bangga kerana dapat peluang ini dan pada masa sama, mereka terima kehadiran saya sebagai pelakon baru.

"Banyak ilmu yang saya timba sebenarnya sepanjang menjalani penggambaran drama ini terutamanya daripada Johan As'ari, Faizal Hussein, Khatijah Tan dan Sherie Merlis.

"Saya hormat mereka sebagai pelakon senior dan banyak yang mereka kongsikan dengan saya. Saya rasa sangat bersyukur. Setiap teguran yang diberikan, saya ambil sebagai proses pembelajaran untuk meningkatkan mutu lakonan saya. Takut memang ada, tapi saya nak belajar," katanya.

Berkongsi mengenai teguran pelakon senior, Trisha sentiasa menerima setiap teguran dengan hati terbuka dan melihatnya dari sudut positif.

"Dalam industri seni ini, kita kena sentiasa belajar untuk kawal perasaan takut, perasaan sedih, atau gembira yang terlampau. Setiap kali ditegur oleh peminat contohnya, saya juga sentiasa terima dengan positif.

"Kalau ada pelakon senior yang tegur, saya tahu, mesti ada kesalahan yang saya lakukan. Bagi saya, tegur itu tandanya mereka sayang. Saya pun terima dengan hati terbuka.

"Pernah sekali, ada seorang pelakon legenda yang saya sangat hormati menegur saya. Katanya, dia tak 'rasa' lakonan saya ketika menjalani sesi latihan.

"Jadi, saya rasa, ada teknik lakonan yang saya buat, tak betul. Saya cakap kepadanya, saya akan cuba lagi sekali. Alhamdulillah, selepas itu, hubungan kami sangat rapat dan barulah saya faham, itu sebenarnya cara untuk dia mengajar saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 6:13 AM