Henley bersama bayi dan isteri
Henley bersama bayi dan isteri
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Pelakon Henley Hii, 39, menyambut kelahiran cahaya mata sulung seorang bayi perempuan selepas isterinya Pauline Tan, 33, selamat bersalin di sebuah pusat perubatan, di Petaling Jaya, hari ini.

Pauline berkata dia bersyukur mendapat jagaan terbaik daripada pihak hospital yang memudahkan proses melahirkan bayi dinamakan Maya Hii itu.

"Selamat datang ke dunia, puteri kesayangan Maya Hii. Kami sudah menanti kedatangan kamu sekian lamanya.

"Kami sangat bersyukur kepada Dr Doris Gynae yang membimbing dan menasihati sepanjang perjalanan kehamilan. Meskipun terpaksa tukar perancangan bersalin pada saat akhir, tapi saya tahu saya dalam jagaan terbaik," katanya.

Henley yang juga pelakon filem Paskal berkongsi bayinya patut dilahirkan lebih awal dan memutuskan isterinya menjalani pembedahan C Section.

"Sepatutnya kelahiran itu dijadualkan pada 7 Mac iaitu Khamis lalu," katanya.

Pasangan terbabit sebelum ini banyak berkongsi keterujaan mereka sepanjang kehamilan berkenaan. Mereka juga sempat menjawab soalan peminat yang mengikuti perkembangannya.

Henley dan Pauline mendirikan rumah tangga pada pertengahan 2022.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 10:35 PM