D’OTAIBOYZ gembira berpeluang beraksi dalam Rising Fest All Star Vol. 7.
D’OTAIBOYZ gembira berpeluang beraksi dalam Rising Fest All Star Vol. 7.
Ridzuan Abdul Rahman

Satu penghargaan buat kumpulan D'OtaiBoyz dari Singapura apabila terpilih menjayakan festival muzik anjuran Atas Angin iaitu Rising Fest All Star Vol. 7 bersama lebih 30 kumpulan lain, baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama dua hari di BE KL ini memberikan pengalaman menarik buat mereka yang boleh dianggap senior berbanding kumpulan-kumpulan lain yang beraksi.

D'OtaiBoyz diletakkan satu pentas bersama kumpulan Radikal, Sitadewi, Junosuara, Insiden Ruang Legar, Beyond The Misguided dan banyak lagi pada acara yang mempunyai kelompok peminat tersendiri ini.

Mereka mempersembahkan lima lagu antaranya dua lagu cover dari kumpulan Sweet Charity iaitu Kamelia dan Teratai. Selebihnya ialah lagu Cek Mek Molek (Datuk M Daud Kilau), Suzana (M Osman) Warkah dan Permataku (Life Petal) dan Seperti Mati Lampu (Ungu).

Kumpulan dianggotai Boy Botak (penyanyi), Nazry (gitar utama), Dzoul (gitar kedua), Khai (bass), Lee (dram) dan Man (keyboard) ini mulanya menggunakan nama The OtaiBoyz.

Penjenamaan semula dibuat dengan menukar ejaan supaya nampak lebih segar dan menyerlahkan profil mereka yang berpengalaman dalam muzik dan pernah bersama kumpulan lain sebelum membentuk D'OtaiBoyz.

Man yang turut menganggotai kumpulan Life Petal juga dari Singapura berkata, mereka amat teruja apabila dijemput beraksi dalam 'showcase' yang rata-rata didominasi anak-anak muda ini.

PENYANYI Life Petal, Farah turut diundang berduet dengan mereka.
PENYANYI Life Petal, Farah turut diundang berduet dengan mereka.

"Sekurang-kurangnya kami dapat berkongsi idea dan pandangan untuk sama-sama meneroka dan mencari idea-idea baru dalam muzik yang boleh diterjemahkan menerusi lagu-lagu kami nanti.

"Kami sangat berterima kasih kepada Atas Angin kerana sudi menjemput D'OtaiBoyz. Sekiranya ada lagi tawaran selepas ini, kami sudi menyambutnya," katanya.

Menurutnya, D'OtaiBoyz yang lebih terarah kepada genre rock lama dan progresif rock akan tampil dengan single kedua berjudul Erna Helina tidak lama lagi.

"Nama lagu ini diangkat dari nama isteri salah seorang anggota D'OtaiBoyz dan lirik pun ditulis oleh dia sendiri. Ia unik kerana berentak ala-ala Bossanova berinspirasikan pemain gitar, Carlos Santana.

"Single pertama kami, Permataku pula diklasifikasikan sebagai lagu berentak balada rockestra. Buat masa ini kami selesa keluarkan single berbanding album.

Ia boleh didengar di setiap platform muzik digital seperti Spotify, iTunes, Joxx, KKBox dan Deezer," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 6:30 AM