ANTARA band indie yang teruja untuk beraksi di Malaysia.
ANTARA band indie yang teruja untuk beraksi di Malaysia.
Ridzuan Abdul Rahman


PERSEMBAHAN dalam gig jenama Rentap bukanlah asing dalam kalangan band yang bergerak secara indie di Malaysia dan Singapura.

Tahun ini Rentap yang memasuki edisi ketujuh penganjurannya akan berlangsung di sebuah kafe studio di Sungai Buloh pada 3 September ini.

Edisi Rentap kali ini yang dinamakan Rentap VII ini bakal menampilkan empat band dari Malaysia iaitu Cronology Band, Hardband, The Ironman Band dan Ghost Malaya.

Ia turut disertai empat band dari Singapura iaitu UR'S, Se7en, D'Otaiboyz dan Unfortunately Unknown.

D'Otaiboyz yang dianggotai Boy Botak (penyanyi utama), Nazry (gitar utama), Dzoul (gitar kedua), Khai (bass), Lee (dram) dan Man (keyboard) melahirkan perasaan teruja dapat mengambil bahagian dalam gig ini.

Man berkata, mereka gembira dapat beraksi buat kali pertama dalam Rentap VII.

"Gig Rentap diadakan secara bersiri antara band-band Malaysia dan Singapura secara tahunan. Ia dianjurkan oleh salah seorang anggota band UR'S iaitu Ajyz.

"Pada saya ia adalah lambang penyatuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara Malaysia dan Singapura. Ia dianjurkan secara bergilir-gilir antara dua negara," katanya.

Menurutnya, edisi gig Rentap menyaksikan Rentap 1 berlangsung di Queenstown Community Club Singapura pada 4 April 2014.

Ia kemudian diadakan di Melaka pada 2016, Ipoh (2016), Kuala Lumpur (2017), Zhenghua Community Club Singapura (2017) dan Johor Bahru (2019).

Man berkata, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kumpulannya jarang beraksi selain memperlahankan aktiviti persembahan 'live' kerana penonton belum boleh menonton secara fizikal.

"Jadi untuk melepaskan gian, sebahagiannya D'Otaiboyz buat persembahan menerusi secara dalam talian. Apabila memasuki fasa endemik, banyak penganjur sambung semula apa yang tergantung dan terhenti sebelum ini. Ramai yang ambil keputusan anjurkan acara secara terbuka depan penonton sekali gus Rentap VII kembali dianjurkan," katanya.

Menurutnya, mereka gembira dan tidak sabar untuk beraksi kerana sudah dua tahun tidak bertemu peminat Malaysia.

"Saya aktif bersama D'Otaiboyz kerana ia adalah projek band kedua saya selepas Life Petal. Secara khususnya D'Otaiboyz dikira masih baru dalam muzik arus utama.

"Saya bermula dengan Life Petal dan alhamdulillah Life Petal dah tempah nama walaupun ia belum ke tahap popular sepenuhnya. Untuk gig ini kami akan bawa tiga lagu 'cover version' dan selitkan single sendiri iaitu Permata Ku. Setiap kumpulan akan beraksi selama 30 minit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 6:30 AM