MAHU mengubati kerinduan peminat menerusi konsert secara maya pada 19 September depan.
MAHU mengubati kerinduan peminat menerusi konsert secara maya pada 19 September depan.
Ridzuan Abdul Rahman


AGAK lama berehat tanpa aktiviti seni akibat pandemik Covid-19 membuatkan kumpulan dikenali sebagai Life Petal atau LP yang dianggotai Luqman sebagai pemain bass, Zax Ramli (penyanyi utama), Farah (penyanyi kedua), Yusuf (gitar pertama), Iskandar Jeff (gitar kedua), Lee (dram) dan Hadi (bass) kian resah.

Justeru, kumpulan berasal dari Singapura yang dikenali dengan single berjudul Pilu ini merancang untuk beraksi secara maya bagi menghiburkan peminat mereka.

Luqman atau Man selaku ketua kumpulan berkata, mereka tidak dapat menyembunyikan perasaan ketagih untuk kembali beraksi dalam sebuah persembahan besar.

"Kali terakhir kami buat persembahan ialah pada September tahun lalu secara maya di Facebook One Music Fest dari studio From The Top di Singapura.

"Alhamdulillah sambutan yang diterima daripada peminat amat menggalakkan kerana kami turut dikenali di Malaysia.

"Jadi, itu yang buat kami nak menghiburkan peminat lagi. Namun, kami sedar kita tak boleh beraksi sembarangan pada masa sekarang," katanya.

Man berkata, dia juga berasa amat beruntung kerana mempunyai kenalan yang bertindak sebagai komiti dengan Pusat Komuniti Balai Rakyat Singapura (Braddell Heights CC).

"Kenalan ini namanya Cikgu Hirman merancang nak buat acara dan panggil artis. Dia dapat tahu saya ada band LP yang turut dikenali di Malaysia.

"Jadi, dia berminat nak bekerjasama dengan kami kerana yakin pembabitan LP nanti dapat menarik perhatian peminat Malaysia.

"Cuma, dia belum berani untuk anjurkan persembahan secara fizikal. Ikutkan di Singapura, kami sudah boleh buat 'show', tapi terhad sekitar 50 hingga 100 orang penonton saja," katanya.

Bagaimanapun, untuk mengelakkan sebarang risiko, mereka akhirnya mengambil keputusan menganjurkannya secara maya.

"Ini cadangan yang bagus kerana semua orang boleh tonton dari platform ini. Alhamdulillah, lagu kami juga sudah menembusi pasaran Indonesia dan peminat di sana tentu nak tonton sendiri persembahan kami.

"Konsert anjuran Braddell Heights CC (Singapura) dan My Muzik Sendiri Entertainment (Malaysia) yang berlangsung jam 4 petang pada 19 September depan boleh ditonton di Facebook Braddell Heights Constituency dan YouTube Life Petal Official," katanya.

Menurutnya, persembahan mereka dianggarkan berlangsung sekitar lebih sejam dengan menampilkan 10 lagu.

"Secara keseluruhannya, bermakna akan ada enam lagu cover dan empat lagu original dari Life Petal untuk ditampilkan kepada peminat nanti.

"Kami juga kini dalam proses menghasilkan lagu baharu, meskipun ia berjalan agak perlahan kerana situasi pandemik yang berlaku. Apapun, tajuk lagunya sudah ada iaitu Warkah.

"Lagu ini juga akan dinyanyikan sebagai pengenalan kepada peminat dalam persembahan terbabit. Saya harap mereka tidak ketinggalan menonton persembahan ini kerana tiada bayaran dikenakan," katanya.

LP tampil dengan konsep muzik dan corak perjuangan tersendiri apabila menitikberatkan kualiti lagu serta bunyi menerusi genre 'symphonic pop rock'.

Setakat ini, mereka sudah menghasilkan empat single iaitu Permataku, Ikrar Cinta, Tika Bersama dan Pilu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:45 AM