LIFE PETAL akan kembali ke Malaysia untuk mempromosi single terbaru mereka.
LIFE PETAL akan kembali ke Malaysia untuk mempromosi single terbaru mereka.
Ridzuan Abdul Rahman


PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia tiga tahun lalu turut merencatkan aktiviti kumpulan dari Singapura, Life Petal.

Mereka yang tampil dengan single berjudul Pilu pada 2020 akur tidak dapat berkunjung ke Malaysia untuk mempromosikan single ini, selain terpaksa mengehadkan aktiviti seni di Singapura ketika itu.

Sebaik pandemik berakhir, kumpulan dianggotai Luqman Hakim sebagai pemain keyboard, Zax Ramli (penyanyi utama), Farah (penyanyi kedua), Yusuf (gitar utama), Iskandar Jeff (gitar kedua), Lee (dram) dan Hadi (bass) kembali aktif dan merakamkan single berjudul Warkah 2023.

Luqman atau Man yang juga ketua kumpulan berkata, proses ini bagaimanapun memakan masa kerana Zax berdepan masalah kesihatan.

"Apapun saya lega kerana akhirnya dapat juga siapkan single ini. Syukur kerana Life Petal dapat kembali aktif dengan material yang terbaru.

"Insya-Allah, kami akan ke Malaysia untuk buat promosi di stesen-stesen radio dan TV. Kami sangat rindu nak bertemu peminat Malaysia," katanya.

Menurutnya, mereka diuji lagi apabila single ini akan dikeluarkan secara rasmi, Zax dimasukkan ke hospital kerana menghidap diabetes yang kronik.

"Situasinya membimbangkan kerana dalam tekaknya ada beberapa ketumbuhan yang mengganggu pernafasan dan terpaksa menjalani pembedahan kecil dan sebahagian dari giginya dicabut.

DUA penyanyi utama Life Petal, Farah dan Zax.
DUA penyanyi utama Life Petal, Farah dan Zax.

"Kami dah berbincang berkenaan promosi Warkah 2023 dan Zax agak bersemangat mengakui boleh turut serta dalam promosi radio-radio dan TV.

"Tapi dia tidak dapat bersama dalam persembahan atas nasihat doktor. Zax perlu berehat dari menyanyi selama tiga hingga empat bulan dari sekarang," katanya.

Menerusi perbincangan bersama dengan anggota lain, mereka bersetuju akan menggunakan nama Life Petal & Friends di mana khidmat penyanyi lelaki dari band lain atau artis solo ditampilkan sebagai 'featuring'.

Bercerita mengenai Warkah 2023, Man berkata, ia dihasilkan sepenuhnya oleh Zax yang pernah dikeluarkan dalam projek solonya dengan judul Warkah Hati Buat Sang Puteri pada 2010.

"Majoriti anggota Life Petal buat permintaan khas kepada Zax agar rakam semula dengan nama baru Warkah 2023 dan susunan muzik yang baru versi Life Petal.

"Kisah berkenaan lagu ini sebenarnya diadaptasikan dari kisah cinta sebenar dia sendiri. Pendengar lagu ini pasti akan kata kisah cerita cinta yang klise kerana ia membabitkan cinta antara dua darjat.

"Percintaan ini mendapat halangan bapa wanita terbabit dan sekali gus ia diketengahkan menjadi sebuah lagu,"

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 6:31 AM