Hawa Rizwana
Hawa Rizwana
Zaara Talita


Petaling Jaya : Pengacara dan pelakon, Hawa Rizwana, 28, menafikan dia tamak kerana menerima pelbagai tawaran dari cabang seni berbeza, sebaliknya sekadar mencuba sesuatu yang baru.

Hawa berkata, dia sekadar mahu mencuba sesuatu yang baru selain ingin keluar dari zon selesa dan tidak hanya melakukan sesuatu yang sering dijayakannya.

"Sebenarnya itu apa yang orang nampaklah kan? Segala rezeki saya terima yang ditawarkan asalkan halal dan sesuai dengan saya.

"Jadi, kalau orang kata tamak dan sebagainya, itu adalah sifat saya sendiri iaitu untuk belajar serta mencuba sesuatu yang baru. Kalau ada rezeki, saya ingin keluar dari zon selesa dan meneroka pelbagai cabang seni yang baru.

"Jika ada yang tak sesuai namun saya terima juga, boleh menjadi pengajaran untuk masa akan datang. Sekurang-kurangnya kita tahu apa yang boleh diperbaiki," katanya.

Hawa yang turut mengintai peluang dalam bidang penyampaian radio berkata, proses berkenaan turut mengajarnya kekuatan dan kelemahan diri.

"Semua ini adalah satu perjalanan kerjaya untuk mengajar saya menjadi lebih baik dalam apa jua bidang. Saya juga boleh mengetahui kekuatan dan kelemahan diri.

"Tak kisah sama ada mengacara, berlakon, penyampai radio atau menyanyi. Jadi saya tahu mana yang harus diberikan keutamaan pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 3:38 PM