HAWA pada sesi sidang media di Majlis Ulang Tahun Ke-10 MeleTOP di MBSA, Shah Alam. FOTO Genes Gulitah
HAWA pada sesi sidang media di Majlis Ulang Tahun Ke-10 MeleTOP di MBSA, Shah Alam. FOTO Genes Gulitah
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pengacara Hawa Rizwana, 27, sebak apabila bapanya, Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman merestui keputusannya untuk menjadi pengacara program hiburan selepas mencipta nama sebagai pembaca berita sebelum ini.

Hawa berkata, dia memang tidak menyangka mendapat keizinan kerana bapanya yang juga bekas pengacara TV dan pensyarah memang tegas dan teliti apabila menyentuh mengenai kerjayanya.

"Apabila saya bertanya pandangannya untuk mengacarakan program hiburan, dia kata boleh. Memang saya tak sangka dia akan pantas memberi kebenaran.

"Sebagai anak, restu daripadanya sangat saya perlukan dan katanya 'go for it'. Semestinya saya lega kerana bapa memang tegas dalam hal keputusan sebegini," katanya.

Menjadi anak perempuan tunggal dalam keluarga, Hawa yang memiliki dua adik-beradik lelaki lain sentiasa dijaga ketat keluarga terutama bapanya.

"Jadual kerja dan ke mana saya pergi memang dipantau keluarga. Sejak dulu lagi apa saja yang saya lakukan dijaga ketat mereka dan diizinkan mengendalikan progran hiburan, saya sangat bersyukur," katanya.

Hawa yang kini pengacara tetap program MeleTOP mengakui masih berasa kekok walaupun sudah mengacarakannya sebanyak lima episod.

"Lima tahun lamanya saya mengendalikan program berbentuk serius dan genre hiburan ternyata masih terlalu baharu untuk saya. Saya masih dalam fasa mencari rentak terbaik sebagai hos hiburan.

"Syukur, sokongan tidak terhingga daripada banyak pihak termasuk juga Nabil, banyak menaikkan semangat saya. Saya ingin terus belajar dan pastikan tanggungjawab itu saya galas dengan bagus," katanya.

Hawa menggantikan pengacara sebelum ini iaitu Neelofa yang berundur daripada MeleTOP beberapa tahun lalu. Dia secara rasmi diumumkan hos baharu program itu pada 1 November lalu.

Hawa turut tampil mengacarakan konsert ulang tahun ke-10 MeleTOP di Auditorium MBSA, Shah Alam, malam tadi bersama Nabil, manakala Uyaina Arshad, Elly Mazlein dan Sherry Alhadad sebagai hos jemputan.

Acara itu diserikan dengan persembahan Aina Abdul, Amir Masdi, Black Hanifah, Cakra Khan, Hael Husaini, Haqiem Rusli, Khai Bahar dan Stacy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 1:24 PM